Terengganu · 16 April 2025
15th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 176 turns · 27,546 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini 16 April 2025:-
1. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 2. Yang Berhormat Wakil Permaisuri 3. Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 4. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 5. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 6. Yang Berhormat Wakil Langkap 7. Yang Berhormat Wakil Air Putih 8. Yang Berhormat Wakil Telemung
9. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 10. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 11. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 12. Yang Berhormat Wakil Sura 13. Yang Berhormat Wakil Bandar 14. Yang Berhormat Wakil Jertih 15. Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 16. Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 17. Yang Berhormat Wakil Kemasik 18. Yang Berhormat Wakil Ladang 19. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 20. Yang Berhormat Wakil Manir
Silakan Yang Berhormat Wakil Seberang Takir untuk mengemukakan soalan.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 2-
Apa status projek solar di Tasik Kenyir sehingga kini? Apa hasil yang bakal diperolehi oleh Kerajaan Negeri daripada projek ini?
Soalan daripada Yang Berhormat Seberang Takir digabungkan dengan Yang Berhormat Manir. Silakan Yang Berhormat Kota Putera.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih juga kepada Wakil Seberang Takir. Soalan seperti yang tertera.
Buat masa ini projek Solar di Tasik Kenyir sedang memfokuskan kepada Pembangunan Fasa 1, Blok 1 berkapasiti 640 megawatt sepertimana yang saya
sebutkan semalam. Keseluruhan kapasiti untuk pembangunan solar di Tasik Kenyir keseluruhannya berjumlah 2,500 megawatt dan ini Fasa Pertama, 640 megawatt. Pembangunan projek adalah mengikut garis masa yang dinyatakan dan garis masa projek tender untuk engineering, procurement, construction, dan commissioning ataupun EPCC Fasa 1 Blok 1 bernilai lebih daripada RM2 bilion yang juga baru sahaja tutup tendernya pada 15 Mac 2025. Hasil secara langsung kepada Kerajaan Negeri untuk Projek Sektor Solar Terapung Hybrid Hydro itu bagi Fasa 1 Blok 1 berkapasiti 640 megawatt adalah RM40 juta setahun. Kalau perinciannya mengikut kadar yang ada, adalah yang pertama bayaran caj kepada Lembaga Air Terengganu (LAUT) yang dianggarkan RM37 juta setahun.
Yang keduanya, pendapatan melalui bayaran permit kepada Jabatan Hutan, pulangan permit bagi penggunaan tanah untuk laluan kabel dari Ladang Solar Terapung ke pencawang masuk TNB. Seterusnya adalah Kerajaan Negeri dianggarkan akan menerima pendapatan melalui cukai tanah permit lesen daripada projek ini kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu sebanyak RM750,000.00 kepada Pejabat Tanah sebanyak RM200,000.00 dan Pejabat Tanah Dan Galian dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri berjumlah RM300,000.00. Dan daripada Fasa Pertama Blok 1 ini juga akan membuka peluang pekerjaan lebih kurang 150-200 orang penduduk setempat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera. Ada soalan tambahan?
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya rasa inilah yang disebut oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, suatu yang membanggakan, yang baginda sebut secara spesifik bidang tenaga baru solar ini. Jadi saya harap projek ini tidak tergendala dan dapat berjalan dengan lancar. Kalau ikut pernyataan EXCO tadi, maknanya kerajaan kalau siap sepenuhnya dapat lebih kurang RM40 juta setahun. Belum lagi termasuk cukai tanah dan juga cukai hutang, yang tidak disebut, laluan ke kabel hutan. Jadi saya ingat benda ini mestilah diteruskan dan kalau boleh, Tasik Kenyir ini luas lagi, rasanya banyak lagi yang boleh diguna pakai untuk tenaga solar ini. Terima kasih.
Soalan dia Yang Berhormat?
Yang laluan kawasan hutan tadi tu tidak disebut berapa yang syarikat ini kena bayar kepada Jabatan Hutan tadi. Tadi YB sebut Jabatan Tanah RM750,000.00, Kerajaan dapat lebih kurang RM40 juta, dan LAUT dapat RM3.7 juta. Saya ingat kalau boleh data ini boleh disebutkan sekali lagi dengan jelas, hok lalu kawasan hutan, mungkin kena tebang ke apa.
Yang Berhormat perlu notis ke?
Boleh jawab. Terima kasih Seberang Takir. Untuk lesen kepada Jabatan Hutan yang melalui penggunaan tanah untuk laluan kabel itu pendapatannya adalah RM1.2 juta setahun. Untuk makluman Dewan juga, ini baru yang 640 yang dianggarkan untuk penggunaan keseluruhannya adalah 2,000 megawatt. Jadi kalau yang diluluskan sekarang, yang disebutkan semalam, kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 itu, baru diluluskan yang 640 ini saja. Untuk tambahan itu akan dimohon dari masa ke masa mengikut projek. Terima kasih.
Ya, sila Yang Berhormat Manir.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan daripada Manir adalah, apakah keseluruhan Ladang Solar yang dibina di Negeri Terengganu diiktiraf sebagai Ladang Solar yang mematuhi syarat-syarat Green Energy dari sudut penebangan hutan ataupun sebagainya. Terima kasih.
Tolong ulang, tak clear..
Okey. Bila kita nak buat solar kita kena tebang hutan pada sebahagian tempat, kalaulah pokok itu ditebang apakah dia masih diiktiraf sebagai green energy dan mematuhi kriteria-kriteria, mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam green energy sekarang ini? Terima kasih.
Okey, terima kasih Manir, mengikut pemahaman saya yang melibatkan tidak green ini adalah kalau melibatkan kawasan hutan simpan. Kalau memang di dalam tanah kerajaan tidak melibatkan perkiraan tersebutlah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Permaisuri.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor satu. Terima kasih.
Pertanian merupakan antara sumber pendapatan rakyat Negeri Terengganu, mohon dinyatakan apakah tiga (3) jenis pertanian teratas yang boleh memberikan pendapatan tinggi rakyat yang perlu diberi galakan dan perlu dimajukan dengan infrastruktur pertanian yang berkesan?
Soalan nombor satu Yang Berhormat Jabi, sila.
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Permaisuri.
Sektor pertanian yang berpotensi memberikan pendapatan tinggi kepada rakyat. Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan lebih mencadangkan supaya rakyat awam terlibat dalam sektor tanaman kontan singkat masa. Modal tak begitu besar, penjagaan lebih praktikal dan hasilnya segera dan modal permulaan boleh mohon daripada Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri. Tapak tanah daripada tanah kerajaan boleh mohon LPS dan kawasan TKPM juga dikhususkan untuk tanaman kontan dengan kadar sewa yang sangat rendah dan paling rendah dalam negara, RM 250.00 per hektar setahun.
Sekarang Terengganu mempunyai lima TKPM iaitu TKPM Rhu Tapai di Setiu, TKPM Tok Dor di Besut, TKPM Serating di Marang, TKPM Peradong di Kuala Terengganu dan TKPM Paloh Jenang di Kemaman dengan keluasan 1,194 hektar.
Dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 ada enam lagi TKPM yang bakal diwujudkan iaitu TKPM Telaga Papan di Setiu, TKPM Pela, Hulu Terengganu. Betul gitu Telemong? Sebutan betul eh? TKPM Pinang Merah di Dungun, TKPM Rantau Abang, Dungun, TKPM Kemasik, Kemaman dan TKPM Bukit Rong Ubi di Kuala Nerus, jadi melengkapkan semua daerah ada TKPM.
Bagi pengusaha yang berkemampuan dari segi modal, tanaman durian di antara yang disyorkan boleh menjana hasil lumayan. Produk durian sama ada durian segar ataupun diproses dari Malaysia sebenarnya telah memasuki pasaran eksport. Malaysia telah memeterai protokol baharu dengan negara China bagi pengeksportan durian sejuk beku pada Mei 2019 dan ada protokol kedua bagi pengeksportan buah durian segar pada 2024. Jadi selaras dengan permintaan yang tinggi sektor durian, Kerajaan Negeri memfokuskan 2 strategi. Yang pertama, pembukaan kebun dan ladang baru bagi penanaman durian dan yang kedua, pemulihan dusun-dusun durian sedia ada dan kawasan bertanam durian Negeri Terengganu tahun 2016 ada 1,695 hektar sekarang telah meningkat kepada 3,165 hektar pada tahun 2023. Jadi peningkatan kira-kira sekali ganda.
Kelapa juga sedang mendapat permintaan tinggi untuk penghasilan produk santan, kelapa muda dan juga air tuak, air nira dan penghasilan kelapa boleh mencecah kira-kira 25 metrik tan/hektar. Kalau kita kira dari segi air nira, purata boleh mencapai 240 liter bagi satu pokok setahun dengan purata setiap pokok ada 12 mayang dan produk hiliran yang ada nilai tambah macam nisan kelapa juga boleh menjana pendapatan tambahan dan sekarang ini ada projek ladang kelapa terbesar yang sedang diusahakan di Kampung Banggol, Setiu seluas 1,200 ekar oleh GLC Negeri, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd.
Penternakan akuakultur juga di antara fokus Kerajaan Negeri. Bagi tahun 2023 jumlah pengeluaran akuakultur Terengganu sebanyak 5,580 metrik tan yang bernilai kira-kira RM96.59 juta sama ada ternakan ikan air tawar atau air payau yang menjadi sumber pendapatan bagi kira-kira 500 orang penternak berdaftar.
Dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 ada beberapa strategi yang telah disusun yang melibatkan aspek pemerkasaan pusat pembenihan ikan, pemberian bantuan input akuakultur kepada pengusaha berskala kecil dan sederhana dan yang ketiga memperkasakan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir, DUN Telemong.
Yang kelima bagi penternakan ayam pedaging yang juga sedang berkembang dengan pesat di Terengganu. Sekarang ini SSR ayam pedaging telah meningkat daripada 68% pada tahun 2022 kepada kira-kira 72% pada 2023 dan JPV ada buat analisa magin kasar pada 2023, anggaran pendapatan seorang pengusaha dengan kapasiti 160,000 ekor per pusingan ialah kira-kira RM98,000.00 dan ini di antara sektor-sektor yang dinilai boleh menjana pendapatan lumayan kepada rakyat dan Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah-langkah yang perlu supaya sektor yang mempunyai peluang yang besar ini kita boleh memanfaatkan sebaiknya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Sila soalan tambahan.
Yang pertama, saya nak ucap tahniah kepada Yang Berhormat yang telah memantapkan lagi usaha-usaha pertanian yang mana sehingga kini ia telah melonjak kepada 7% kenaikan daripada daripada -4. Tahniah. Saya kira saya ini orang kampung, duduk kampung, hidup dengan orang kampung dan banyak orang-orang kampung ini usaha-usaha dia ni jarang pertanian seperti durian, kelapa dan akuakultur ini banyak di bahagian kawasan pantai tetapi orang kampung ini banyak dia buat kerja-kerja seperti tanaman kontan tembikai, melon dan sebagainyalah, tanam-tanam sayur. Soalan saya sejauh mana usaha-usaha yang telah dibuat oleh pihak jabatan pertanian untuk meningkatkan lagi pendapatan penanam-penanam kontan di kawasan kampung-kampung contohnya di kawasan Saujana Setiu, Tembila dan juga di kawasan Telaga Papan di Setiu dan kita tengok pernah berlaku baru ini kita panggil, orang kampung panggil jebbok timun cina jadi jebbok maknanya lambakan yang begitu banyak sehinggakan pengeluaran mereka diletakkan harga sampai 40 sen satu kilogram, hal ini mungkin ada teknikal yang silap. Jadi soalan saya apakah usaha yang perlu kita buat bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan mereka supaya harga itu boleh mencecah sampai RM0.80 ataupun RM1.00 paling kurang kerana margin untung mereka ini sangat sedikit bahkan ada yang terpaksa menanggung rugi, terima kasih.
Terima kasih, sila Yang Berhormat Jabi.
Wakil Permaisuri, saya nampak fokus utama daripada Permaisuri ialah isu lambakan tembikai pada bulan Ramadan, sebelum Ramadan dan sepanjang bulan Ramadan sehingga sampai pada hari raya baru ini. Memang fenomena yang kita tidak jangka sebab bulan Ramadan pada tahun lepas harga tembikai mencecah sehingga RM3 dan ianya stabil sekitar RM2 dan trend petani dan pekebun kita bila satu produk ini naik harga pada tahun sebelumnya, mereka akan beramai-ramai bertanam pada tahun yang seterusnya. Dan yang baru ini lambakan itu bukan setakat daripada Negeri Terengganu malah daripada tiga ke empat negeri yang berjiran dengan kita. Kalau boleh saya istilahkan situasi pasaran berada dalam keadaan tepu. Orang Setiu panggil Jebbok, dok. Tepu maknanya tak boleh nak isi dah, dengan segala mekanisma pemasaran yang kita cuba laksanakan tapi impak dia tak mampu untuk nak mengatasi kesan daripada supply and demand sebab mekanisma pemasaran yang kita ada ini kiranya dah pelbagai dari segi ladang kontraknya, pasar tani kekal, gerai buah-buahan segar, AGRO Bazar dan sebagainya daripada pelbagai agensi di bawah portfolio pertanian dalam masa yang sama kita juga berusaha untuk bawa sebanyak mungkin tembikai daripada Terengganu ke luar daripada Terengganu, sebab biasanya pada kemuncak musim menuai tembikai purata sekitar 40 buah lori akan keluar daripada Terengganu setiap hari menuju pelbagai destinasi untuk nak bawa tembikai sama ada sampai ke Singapore, Lembah Klang dan juga Utara Tanah Air. Situasi yang berlaku baru ni tempat-tempat yang biasanya lori-lori tembikai daripada Terengganu ni pergi semua dah tepu, jadi memang ia berada dalam situasi luar jangka. Jabatan Pertanian boleh buat penjadualan supaya tidak berlaku lambakan, tapi kita tidak boleh nak paksa petani kita supaya tanam dan jangan tanam sebab biasanya petani dalam mereka nak memilih masa nak tanam atau jangan tanam mereka akan tengok bila nak tuai dan trend tembikai mendapat permintaan tinggi ialah sebelum ramadhan, menjelang ramadhan dan menjelang Aidilfitri, jadi biasanya, mereka akan fokus kepada tempoh masa ini, tapi berdasarkan kepada pengalaman kita tak boleh mudah-mudah buat kesimpulan kalau setiap tahun berlaku gini maka petani kita tak akan mampu bangkit kembali ia tidak begitu, ada tahun dia naik ada tahun dia turun sebab tu sebagai pengguna kalau kadang-kadang harga naik kita janganlah terlalu mudah nak kata petani kita “sedak lah harga naik” sebab naik sekali mungkin turun dua kali dan dengan kos pengeluaran sekarang ni tembikai perlu dijual tak kurang daripada harga 80 sen barulah balik modal, manakala dijual dengan harga 40 sen, 50 sen dengan makna makan modal doh tu dan kita memahami situasi ditambah pulok bila masuk bulan 4 baru ini kita berhadapan dengan isu banjir luar
jangka, jadi kira-kira 50 orang pengusaha kebun tembikai kita kerugian dalam lingkungan RM700,00.00 dan insya-Allah akan ditampung oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan daripada tabung bencana pertanian Negeri Terengganu, jadi kita cuba buat yang terbaik insya-Allah mudah-mudahan petani kita mampu bangkit kembali daripada pelbagai musibah yang melanda. Terima Kasih.
Terima Kasih Yang Berhormat, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat wakil Hulu Besut.
Terima Kasih Dato’ Yang di-Pertua. Hulu Besut soalan nombor satu-
Soalan nombor satu, sila Yang Berhormat Paka. Soalan saya nombor satu-
Berapa orang pelajar cemerlang yang ditaja oleh Yayasan Terengganu untuk melanjutkan pengajian tahu 2024, nyatakan bidang pengajian yang ditaja serta jumlah kewangan yang terlibat?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat Hulu Besut tanyakan tentang bilangan pelajar yang ditaja oleh pihak Yayasan Terengganu bagi tahun 2024. Untuk makluman sidang Dewan, penajaan pelajar cemerlang ataupun kita wujudkan SPC (Skim Pelajar Cemerlang) bermula 2019 sehingga sekarang sebagaimana yang di dalam manifesto 5 juta kita peruntukkan bagi Skim Pelajar Cemerlang ini, untuk tahun 2024 Yayasan Terengganu telah menaja seramai 268 pelajar iaitu 239 pelajar dalam negara dan 29 pelajar luar negara yang berjumlah RM3,581,400.00 khusus pada tahun 2024 sahaja. Kajian ini merangkumi pelbagai bidang dengan penekanan utama dalam perubatan pergigian, kejuruteraan, teknologi maklumat, sains kesihatan, pengajian islam dan juga perbankan islam. Terima Kasih.
sebagaimana yang di dalam manifesto 5 juta kita peruntukan bagi Skim Pelajar
Okay, Yang Berhormat Paka ada soalan tambahan. Sila Yang Berhormat Hulu Besut.
Dato’ Yang di-Pertua, saya nak tanya pelajar yang kita taja ke luar negara tu adakah mereka ni terus bekerja di sana ataupun dia balik kerja dengan kita. Terima Kasih.
Sila Yang Berhormat Paka.
Untuk makluman sidang Dewan, bagi tahun lalu untuk pelajar luar negara seramai 29 orang mengikut bidang pengajian perubatan 2 orang, pergigian 2 orang, kejuruteraan sains dan perakaunan 8 orang ke UK, Amerika, Korea dan Jepun, perbankan islam dan qira'at 6 orang di Jordan, perubatan dan pergigian Mesir iaitu 6 orang dan juga untuk program persediaan program persediaan A-level 7 orang. Setakat ini mereka, masih lagi tahun pertama. Bagi pelajar-pelajar yang sebelum pada ini, kita pihak Yayasan Terengganu telah menyediakan perjanjian dengan pelajar-pelajar untuk memastikan setiap pelajar yang pulang yang mengguna pakai ataupun mendapat tajaan SPC ni balik kerja di Terengganu, tapi kita bagi tempoh lah sebab cepat sangat pelajar balik kang pastu takdok ruang apa orang panggil kesesuaian mereka dengan bidang masing-masing selepas tempoh satu tahun kita buka jugok dia nok pergi ke mana kurang isu “brain drain” ni supaya kita cuba manfaatkan kemahiran yang mereka ada untuk dimanfaatkan di dalam negeri. Sebab itu, pihak Yayasan Terengganu juga mengadakan kerjasama dengan TI bidang-bidang berdasarkan GLC yang menaja tu, kita harap selepas daripada dia selesai menamatkan pengajian, mereka boleh berkhidmat dengan GLC yang sedia ada. Terima Kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, seterusnya saya persila Yang Berhormat Rantau Abang
Terima Kasih, Dato’ Yang di-pertua. Rantau Abang soalan nombor dua-
Soalan daripada Rantau Abang soalan yang kedua, sila Yang Berhormat Wakaf Mempelam.
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membuka lebih banyak kawasan tanah kerajaan bagi tujuan pembinaan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana?
Terima Kasih Dato’ Yang di-Pertua, Terima kasih kepada sahabat saya Yang Berhormat Rantau Abang yang bertanyakan tentang soalan yang tertera di skin jadi jawapannya adalah ya Kerajaan Negeri sememangnya bercadang untuk membuka lebih banyak lagi kawasan-kawasan tanah kerajaan bagi tujuan pembinaan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dan untuk rekod pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat juga rumah kos rendah ini telah pun dibuat penjenamaan semula sebagai rumah mampu milik ataupun (RMM) jadi kita dok letok doh rumah kos rendah sebaliknya rumah mampu milik ataupun (RMM). Terima Kasih.
Ada soalan tambahan, sila Yang Berhormat.
Terima Kasih pada Yang Berhormat. Soalan tambahan pohon YB nyatakan apakah projek-projek perumahan terkini di Daerah Dungun, terutama di DUN Rantau Abang dan apakah perkembangan terkini.
Ya. Yang Berhormat Wakaf Mempelam.
Ya. Terima Kasih Yang Berhormat Rantau Abang untuk makluman Yang Berhormat Rantau Abang dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sehingga kini terdapat sebanyak 6 projek perumahan di Dungun yang melibatkan sebanyak 1,062 unit rumah yang sedang dibina dan juga bakal didiami, insya-Allah
dan daripada 6 projek perumahan yang saya nyatakan ini yang pertama sekali ialah di DUN Rantau Abang iaitu lah projek RMM Balai Besar di Rantau Abang, Dungun yang melibatkan sebanyak 182 unit rumah RMM yang terdiri daripada RMM (Jenis A) 128 dan juga RMM (Jenis B) sebanyak 54 dan projek ini baru saja di mulakan dan insya-Allah kerja-kerja awalan di tapak termasuk kerja-kerja tanah sedang dilaksanakan, yang pertama.
Yang keduanya, yang berlaku di DUN Bukit Besi juga dalam kawasan Dungun iaitulah Projek Kemajuan Kawasan Bandar AMBS di Dungun yang melibatkan rumah teres sebanyak 130 unit dan status sekarang ini adalah kerja-kerja bangunan dan infrastruktur dan pemajuan ataupun kemajuan keseluruhannya adalah sebanyak 63% ada delay sikitlah. Yang ketiganya, di DUN Paka, RIR ataupun Rumah Idaman Rakyat Desa Idaman Santong di Paka, Dungun yang melibatkan sebanyak 70 unit Rumah Mampu Milik, RMM (Jenis A) sebanyak 32 unit dan RMM (Jenis B) sebanyak 38 unit dan kerja-kerja bangunan dan infrastruktur sedang berjalan dan insya-Allah sekiranya tidak ada apa-apa masalah dijangka akan mendapat CCC pada Julai 2025 insya-Allah.
Seterusnya yang keempat, Projek Perumahan di Taman Industrial Park juga di Paka yang melibatkan sebanyak 178 unit rumah RMM (Jenis A) dan status sekarang ini adalah kerja-kerja bangunan dan infrastruktur sedang dijalankan, insya-Allah dan yang kelima, iaitulah Projek Pembangunan Tanah di Kawasan Kuala Paka juga di Dungun yang melibatkan sebanyak 348 unit yang terdiri daripada RMM (Jenis A) sebanyak 139 unit dan RMM (Jenis B) sebanyak 209 unit, jadi semuanya ada 348 unit dan sekarang ini dalam proses memohon Kebenaran Merancang (KM) dan daripada enam projek yang saya nyatakan tadi, ada satu DUN sahaja yang saya tidak nyatakan iaitulah di DUN Sura. Di DUN Sura ini, Yang Berhormat Sura jangan bimbang kerana kita telah pun ada satu projek di Sura iaitulah Projek Perumahan Mampu Milik dan Bercampur di Kampung Bukit Tebuk di Mukim Kuala Dungun daerah Dungun, itulah dalam DUN Sura yang melibatkan sebanyak 120 unit rumah RMM (Jenis A) dan 135 unit rumah RMM (Jenis B) dan status sekarang ini adalah dalam proses untuk memuktamadkan deraf perjanjian usahasama di antara pihak Kerajaan dengan pihak syarikat berkenaan, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Seterusnya, saya persila Yang Berhormat Batu Rakit.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya bertanya soalan dengan serangkap pantun.
Dari Besut ke Rhu Rendang, Sambung perjalanan ke Kemaman, Soalan saya bukan ketimbang, Nombor satu jadi pilihan.
Semenjak Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PAS bermula tahun 2018 berapa banyakkah kelulusan tanah untuk rakyat?
Sila Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Batu Rakit yang mengemukakan soalan. Kita tak pandai nak jawab pantun kalau short notice ni insya-Allah di waktu dan kesempatan yang lain. Soalan daripada Yang Berhormat Batu Rakit adalah sebagaimana yang dipaparkan di skrin. Sejak kami mengambil alih Kerajaan daripada bulan Mei 2018 sehingga Februari 2025, jumlah keseluruhan tanah yang diluluskan adalah sebanyak 40,977 di mana ia adalah tanah pertanian yang berjumlah 10,206 dan juga tanah bangunan sebanyak 30,771 permohonan, terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Ada soalan tambahan?
Soalan tambahan, secara khususnya berapa banyak tanah terkilan yang telah kita luluskan untuk rakyat sepanjang pemerintahan Yang Amat Berhormat dan jika sekiranya sekarang masih lagi ada rakyat yang datang mengadu mempunyai tanah terkilan sebelum ini, apakah boleh diuruskan dan jika sekiranya boleh diuruskan, apakah dia akan dapat bayaran premium sama sebagaimana sebelum itu? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan dan soalan tambahan. Untuk tanah terkilan yang meliputi tapak rumah dan pertanian yang telah diluluskan adalah sebanyak keseluruhannya adalah 7,721 permohonan, yang meliputi tapak rumah sebanyak 6,303 dan pertanian 1,418 di kesemua daerah. Untuk soalan kedua yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Batu Rakit, sebenarnya kita ada sebab kenapa kita meletakkan satu tempoh yang tertentu kerana kalau tidak dia akan membuka kepada fluck gate dengan izin yang tidak berkesudahannya, jadi kita letak satu tempoh yang tertentu. Di masa yang sama, kita boleh juga menilai dari case to case basis dengan izin untuk meneliti sekiranya ada yang terlepas pandang sepanjang proses dijalankan terhadap tanah yang terkilan ini, sekian.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Seterusnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Langkap untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor 2-
Soalan?
Nombor 2.
Soalan nombor 2. Sila Yang Berhormat Jabi.
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan pengairan jelapang padi, Kampung Jelapang Setiu, Terengganu?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Langkap. Sawah padi dalam Skim Pengairan Kampung Jelapang, Langkap di Setiu seluas kira-kira 700 hektar. 300 hektar dalam kawasan asal yang diteroka oleh orang-orang kampung sejak awal 70-an lagi manakala 400 hektar adalah kawasan yang dibuka oleh Kerajaan di bawah Projek Skim Pengairan Kampung Jelapang pada tahun 2009 dengan kos kira-kira RM47 juta. 300 hektar kawasan asal, sekarang sedang diusahakan oleh
orang kampung. Manakala baki yang 400 hektar yang baru di buka oleh Kerajaan terbiar sejak sekian lama.
Di antara usaha yang kita sedang lakukan ialah yang pertama, kita nok beri hak milik kepada peneroka-peneroka asal yang telah bertapak di situ sejak awal 70-an lagi dan proses sedang diuruskan oleh Pejabat Tanah Setiu untuk melihat perkara-perkara supaya menepati Dasar Tanah Terengganu. Manakala bagi 400 hektar yang kedua, sedang dibangunkan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri (TADC) bersama dengan pelabur tempatan dan tentu sekali isu infra terutamanya pengairan dan jalan ladang menjadi fokus kita. Pada tahun 2024, sebanyak RM459,000.00 telah diperuntukkan daripada dana Kerajaan Negeri dan juga dana Persekutuan untuk pelaksanaan 17 senarai projek. Di antara skopnya adalah skop penyelenggaraan perparitan, saliran, penyelenggaraan rumah pam, baik pulih jalan ladang dan juga penyelenggaraan pintu air supaya semua ini berada tahap optimum dan boleh beroperasi dengan sebaiknya.
Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri melalui JPS, telah memohon projek menaik taraf tali air utama dalam RMKe-13 dan permohonan ini telah dibentangkan kepada KPKM pada 14 Mac 2025 yang lalu dengan kos keseluruhan kira-kira RM16 juta. Di antara skop kerja yang kita mohon ialah menaik taraf ibu bekalan di Kampung Jelapang, menaik taraf tali air utama dan juga menaik taraf jalan-jalan ladang. Inilah di antara usaha yang kita lakukan untuk kita terus pertingkatkan SSR padi dan beras di negeri kita, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Sila soalan tambahan.
Soalan tambahan.
Apakah isu dan permasalahan yang telah dikenal pasti sehingga mengakibatkan projek Skim Pengairan Kampung Jelapang yang bernilai lebih RM47 juta tadi terbiar begitu lama, terima kasih.
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Langkap. Isu utama yang pertama ialah petak sawah dipenuhi oleh sisa-sisa kayu. Semasa kerja-kerja pembersihan hutan dijalankan
pada 2009, sisa-sisa kayu tidak dialihkan tapi ditimbus dalam petak sawah menyebabkan petak sawah yang dipenuhi sisa kayu takleh nak tanam padi dan bila sisa kayu ini mereput ia membentuk satu fenomena tanah jerlus menyebabkan jentera sama ada jentera pembajak ataupun jentera penuai bukan setakat lekat tapi tenggelam terus dalam tanah, ini fenomena yang pertama. Yang kedua, semasa pembinaan longkang untuk saliran, aras dan level longkang tidak dibuat dengan sebaiknya menyebabkan air tidak mengalir. Ada kawasan yang airnya melimpah dan ada kawasan longkang yang berada dalam keadaan kering kontang. Kita pun tak tau macam mana dari segi reka bentuk sehingga apa yang tidak sepatutnya berlaku, berlaku sebegini. Dan yang ketiga, fenomena tanah gambut dalam yang menyebabkan kesukaran dalam penggunaan jentera dan akhir sekali sumber pengairan daripada Sungai Jelapan apabila air pasang mempunyai PH kadar berasid kalau istilah orang kampung, air masam kelat jadi bila air masam kelat ini sedut ke dalam sawah padi tanah berasid apa-apa tanaman tidak akan tumbuh dengan subur. Dan jalan alternatifnya ialah kita perlu cari satu sumber pengairan lain dan yang ada yang terdekat ialah sumber daripada Sungai Nerus yang saya maklumkan dalam permohonan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe 13) sebanyak 16 juta itu inilah di antara matlamat kita dan isu sisa-sisa kayu yang ada dalam petak sawah gerak kerja pembersihan sedang giat dijalankan oleh Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) bersama syarikat pelabur dan kita terkejut bila tengok saiz-saiz kayu yang ditimbus bawah tanah itu ada bersaiz batang balak bukan setakat ranting-ranting kayu, terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat.
Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Air Putih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor satu.-
Apakah program yang dilaksanakan bagi memastikan kesedaran komuniti berkenaan kepentingan Pemuliharaan Sungai dan Alam Sekitar?
Soalan nombor satu gabung dengan soalan daripada DUN Manir dan DUN Langkap, sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Wakil Air Putih, Langkap dan juga Manir, 3 sepertimana yang tertera dalam skrin. Antara program yang dilaksanakan di bawah Program Komunikasi Pendidikan dan Kesedaran Alam Sekitar dalam bahasa Inggerisnya Communication Education and Awareness yang melibatkan penyertaan orang awam, agensi Kerajaan, para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, pihak swasta, NGO dan industri adalah seperti berikut.
Yang pertama, Seminar Biodiversiti Negeri Terengganu diadakan pada 6 hingga 7 November 2024, Program sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Negeri Terengganu, Program Sambutan World Wetlands Day, Program Setiu Wetlands Festival, Program Bersih Pantai Monsun Terengganu, Program Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Terengganu Pada 24 Oktober, Program Sambutan Hari Bumi 22 April, Program Hari Alam Sekitar Sedunia 5 Jun, Program Hari Ozon Sedunia 16 September, Program Komuniti Tanah Gambut bersama komuniti yang tertumpu di kawasan-kawasan tanah gambut yang sering terbakar. Dan antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan ekosistem laut, sungai dan pantai seluruh Negeri Terengganu sentiasa terpelihara adalah seperti mana berikut:
1. Mewujudkan penguatkuasaan enakmen dan akta berkaitan.
2. Melaksanakan projek serta Program Pemuliharaan Alam Sekitar mengawal pembangunan di kawasan sungai, pantai dan laut mengawal dan menetapkan piawaian ketat bagi pelepasan influence dan buangan. 3. Program pendidikan dan kesedaran masyarakat pelaksanaan kajian pengurusan pantai bersepadu, pelaksanaan kajian pengurusan lembangan sungai secara bersepadu.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat. Sila, ada soalan tambahan.
Adakah Kerajaan Negeri ada mewujudkan kerjasama dengan pihak NGO dan juga pihak Institut Pengajian Tinggi dalam membuat kajian dan pemeliharaan kepada biodiversiti, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Ya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan dalam pemeliharaan Biodiversiti di Negeri Terengganu. Antaranya adalah melalui penganjuran Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 yang telah diadakan pada 6 November 2024 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Terengganu. Penganjuran Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 telah dikelolakan dan diaturkan oleh Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) selama satu hari dengan penyertaan sekurang-kurangnya 300 orang daripada pelbagai latar belakang iaitu dari Sektor Awam, Akademik, Swasta, Badan Bukan Kerajaan, NGO, Komuniti Tempatan, Masyarakat Orang Asli dan Mahasiswa dengan bertujuan untuk memupuk kesedaran pelbagai perkongsian daripada agenda kebangsaan dan memelihara biodiversity, kajian dan usaha konservasi serta perbincangan berkaitan isu-isu terhadap biodiversiti dan yang terakhir sekali, Kerajaan berhasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri. Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju mewartakan Pulau Bidong di daerah Kuala Nerus yang berkeluasan 231.3 hektar merangkumi satu batu nautika daripada tikas air surut sebagai sebuah Taman Negeri yang diletakkan di bawah urus tadbir Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu manakala urusan pewartaan akan diselaraskan pada masa yang terdekat, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Wakil Kijal.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua..
Sila Yang Berhormat Wakil Kuala Berang. Kuala Berang…
Kuala Berang ke Telemong?
Telemong…
Terima kasih, Yang Berhormat, ingat ke Kuala Berang tadi.
Saya ingat Kuala Berang dulu…
Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya sangat…mengucap tahniahlah kepada pihak Kerajaan atas usaha memastikan pemeliharaan sungai tapi persoalannya Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kami di kawasan yang berhampiran sungai ini di Hulu-hulu Terengganu, Sungai Telemong ni sering kali berlaku banjir. Banjir ini kalau beza dengan dulu…dulu lambat banjir lambat mari sebab dulu sungai dalam…dalam sungai hari ini sungai ini dengan Kerajaan buat macam-macam pemeliharaan ini sungai koho tohor. Koho tohor lening YB dok berasa sebab YB duk pantai Wakil Kijal kita duk Hulu, koho tohor lening. Bila tohor hujan sikit air melimpah banjir, hujan sikit banjir oleh kerana saya buat kajian dapati kerana penerokaan hutan, pembalakan kawasan di hulu-hulu sungai ini jadi menyebabkan berlaku penimbunan atas sungai-sungai ini. Jadi soalan saya yang masalahnya sekarang juga bila nak minta mohon pasir lambat lulus jadi payah…jadi payah jadi patutnya beri ah wak keluar pasir-pasir banyak-banyak sikit supaya jangan jadi tohor untuk mengelakkan...
Soalan Yang Berhormat…
Soalan saya maknanya cepatlah jangan buat syarat banyak nak buat nak lulus kelulusan pasir ini supaya sungai kita dapat di ambil pasir supaya sungai akan jadi dalam sikit, setuju dok YB Kuala Berang? Terima kasih.
Soalan, cepat lah.
Terima kasih.
Soalan lari jauh ni Dato’ Yang di-Pertua. Tapi tak apalah. Berkaitan dengan penggalian sungai itu saya rasa, saya tak boleh jawab pasal bawah utiliti tapi pasal pasir saya boleh jawab.
Okey. Hak Yang Berhormat untuk nak jawab atau tak mboh jawab. Takpelah.
Itu tak payah la jawab saya serah kepada sahabat saya.
Terima kasih Yang Berhomat.
Satu lagi saya boleh jawab. Pasir, saya jawab. Berkaitan dengan pasir pengambilan pasir, Yang Berhormat Telemong, Kerajaan Negeri telah meringankan kelulusan, memudahkan kelulusan daripada yang terdahulu sebagai contoh jarak di antara paip, dalam air itu ada paip Yang Berhormat, dulu 1000 meter sekarang dah kurang jadi 500 meter. Jarak di antara tiang jambatan, dulu 1000 Dato’ Yang di-Pertua sekarang dah kurang jadi 500 meter. Jarak di antara pengusaha A dan pengusaha B, dulu 1000 meter sekarang kita minta kurang, kita dah kurang kepada 500 meter, kecuali kawasan tuntung, dia banyak pasir ni Yang Berhormat, kawasan tuntung ini, dia macam penyu darat kita panggil, hok tu dokleh nok timbang. Sekarang banyak permohonan kita terima dia mintok kurang daripada 500 itu yang jadi masalah. jadi saya minta Yang Berhormat, di peringkat JKTD supaya tidak bersetuju lah kalau kurang daripada 500 meter. Kalau bersetuju susah di peringkat EXCO nak jawab. Jadi kita minta hok tu kena Yang Berhormat kawasan kena perhati betul-betul supaya kelulusan kita ni kepada pengusaha-pengusaha pasir ni dapat membendung atau menjaga keindahan sungai-sungai seluruh Negeri Terengganu. Itu sahaja Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kijal.
Seterusnya saya mempersila Yang Berhormat Bukit Tunggal.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker. Soalan saya nombor 2-
Apakah langkah yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menambah baik sistem pentadbiran dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melancarkan pembangunan setempat, berjaya menari pelabur dan memastikan penyelesaian masalah dengan lebih cekap?
Soalan nombor 2. Yang Berhormat Wakaf Mempelam.
Terima kasih pada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Tunggal atas soalan yang tertera di skrin. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Tunggal dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri telah pun melaksanakan beberapa langkah untuk menambah baik sistem pentadbiran dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT demi untuk melancarkan pembangunan setempat dan menarik pelabur-pelabur untuk masuk melabur di negeri. Antara inisiatif yang lazimnya diambil adalah sebagaimana berikut. Yang pertamanya adalah memperkasakan digitalisasi perkhidmatan. Yang kedua, mengadakan perkhidmatan dan pembangunan sumber manusia. Yang ketiganya, menambah baik infrastruktur dan kemudahan penduduk. Yang keempat, penyelesaian masalah secara proaktif dan yang kelima dengan mengadakan kerjasama di antara pihak awam dan juga pihak swasta. Terima kasih.
Terima kasih pada Yang Berhormat. Kita tahu apabila sesiapa yang mari melabur dia nak keuntungan dan keuntungan dia nak cepat sebab peniaga bagi diorang, time is money, berbeza. Jadi bila berlaku kelambatan kelulusan projek akan menyebabkan mereka ni tersekat untuk nak pusing modal nak rolling, dengan izin. Jadi soalan saya adakah ada cadangan di peringkat Kerajaan Negeri untuk PBT buat satu sistem fast track untuk kelulusan terutamanya bagi projek-projek yang
berimpak tinggi yang besar dan berskala besar atau pun projek perumahan rakyat yang memerlukan kelulusan yang, jangan terlalu lama. Terima kasih.
Terima kasih ADUN Bukit Tunggal. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Tunggal dan ADUN-ADUN sekalian, seperti yang sedia dimaklumkan bahawa PBT sentiasa berusaha sebenarnya untuk memastikan agar sebarang proses yang melibatkan seberang bentuk projek-projek, apa-apa sahaja bentuk projek dipermudahkan dan dipercepatkan sebarang urusan dan memang selalu kita dengar berkenaan dengan isu keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dalam usaha dalam urusan untuk mendapatkan kelulusan bagi sebarang kemajuan. Rentetan daripada itulah pihak KPKT, Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun mengeluarkan satu manual OSC 3.0 Plus pada tahun 2020 lagi bagi menggantikan OSC 3.0 tahun 2014 yang berhasrat untuk memastikan keseragaman dan ketulusan selaras dengan hasrat bagi memudah cara perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat. Dan penyampaian perkhidmatan oleh PBT yang cekap dan telus akan menjadi satu pemanking sebenarnya kepada kepesatan pertumbuhan produktiviti negeri serta mampu untuk meningkatkan keyakinan para pelabur yang secara langsung akan memberikan manfaat kepada ekonomi di negeri dan juga kepada rakyat. Menjawab kepada persoalan bagi sistem fast track bagi permohonan kelulusan di peringkat PBT, untuk makluman Yang Berhormat Bukit Tunggal pada 2024 KPKT telah pun mengeluar satu tatacara pelaksanaan inisiatif penambahbaikan proses dan prosedur OSC 3.0 Plus bagi mengatasi kelewatan kelulusan plan kemajuan dan kita sangat mengharapkan agar penambahbaikkan ini dijangka akan memberikan impak yang positif kepada PBT dan juga kepada pelabur-pelabur.
Antara inisiatif yang diperkenalkan di antaranya, yang pertama adalah Industrial Green Lane, IGL yang diadaptasi daripada inisiatif E10 yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kulim Kedah ataupun MPKK. IGL melibatkan permohonan kemajuan industri dalam zon perindustrian yang telah pun mempunyai kelulusan pelan KM susun atur yang mana infrastur dan utiliti serta tapak telah tersedia untuk didirikan bangunan. Seterusnya proses kemajuan di dalam zon perindustrian dapat dilaksanakan secara pantas dan tangkas bermula dari peringkat perancangan sehinggalah bangunan siap dan beroperasi. Yang ketiga kebenaran beroperasi dalam masa yang singkat merupakan insentif dan tarikan kepada pelabur dan insya-Allah pelaksanaan inisiatif ini dijangka mampu untuk memendekkan tempoh
kelulusan daripada 99 hari kepada 29 hari. Yang pertama, Industrial Green Lane, yang kedua Prerequisite, PR, iaitu penambahbaikkan terhadap proses dan prosedur semua jenis permohonan pelan kemajuan yang diadaptasi berdasarkan kaedah yang dilaksnakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan ataupun MBK. Iaitu lah proses kemajuan bagi semua jenis permohonan termasuk perumahan komersial, pembangunan, pembangunan bercampur, pengangkutan, institusi dan kemudahan awam serta infrastruktur dan utiliti dapat dilaksanakan secara pantas dan tangkas bermula daripada peringkat perancangan sehinggalah bangunan siap dan memendekkan tempoh kelulusan daripada 99 hari kepada 22 hari sahaja. Selain daripada itu sebagai langkah strategik, PBT juga mengadakan kerjasama erat dengan Malaysia Productivity Corporation atau pun MPC di bawah inisiatif MY Mudah yang bertujuan untuk mengenal pasti dan mengurangkan regulasi yang tidak perlu, memudahkan proses permohonan dan mempercepatkan kelulusan projek pembangunan di peringkat PBT. Salah satu pendekatan utama dalam kerjasama ini ialah, pelaksanaan kelulusan E10 dengan adanya pelaksanaan sistem fast track serta penyertaan dalam program MY Mudah dan kelulusan E10 ini, Kerajaan Negeri melalui PBT yakin dapat mempercepatkan lagi proses permohonan di samping kita dapat mengekalkan ketulusan serta kreatibiliti dan pematuhan kepada semua peraturan-peraturan yang telah pun ditetapkan dan disyaratkan. Insya-Allah langkah ini juga dapat diharapkan untuk meningkatkan lagi daya saing Terengganu sebagai destinasi pelaburan pilihan dan memastikan penyediaan perumahan untuk rakyat dan juga segala bentuk projek akan dapat disegerakan demi kesejahteraan komuniti setempat dan juga negeri itu sendiri. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Kita telah menghabiskan masa untuk Soalan-soalan Lisan sebanyak sejam lima minit. Insya-Allah Yang Berhormat yang tidak sempat untuk bertanya Soalan-soalan Lisan, saya akan bagi ruang pada besok insya-Allah, Yang Berhormat Kuala Besut, Bukit Besi dan Sura.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 11 pagi.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.33 PAGI.
PUKUL 11.02 PAGI
Perbahasan
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, semalam kita telah mengemukakan Usul Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan hari ini saya mempersilakan Yang Berhormat yang bersedia untuk meneruskan perbahasan Menjunjung Kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Saya persilakan mana-mana Yang Berhormat yang bersedia untuk meneruskan perbahasan pada pagi ini. Sila Yang Berhormat Kuala Berang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, MB kita, Yang Berhormat-yang berhormat sekalian, semua ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil, semua pengamal media, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ memberi peluang kepada saya untuk membahas Usul Menjunjung Kasih di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan. Saya ingin mengulas berkaitan dan saya rasa ada enam sahaja isu yang saya perlu ketengahkan pada pagi ini.
Pertamanya berkaitan soalan saya semalam iaitu Jalan Federal FT 036 Seksyen 89 yang ditutup 100 peratus akibat hujan yang lebat pada November 2024 yang lalu. Saya suka mencadangkan pihak Kerajaan membuat laluan sementara untuk kemudahan orang ramai. Projek yang hendak dilaksanakan itu adalah projek jangka panjang yang sekarang ini masih dalam peringkat kajian dengan kos hampir 40 juta yang diberitahu semalam. Jadi masih lambat lagi dan sudah tentu menyusahkan pengguna antara Kelantan dan Terengganu, terutamanya penduduk Kuala Berang dan yang berulang alik ke Gua Musang. Pengguna terpaksa melalui jalan yang ada ini 80 kilometer lebih panjang daripada kalau lalu ikut Aring dan
memakan masa kira-kira 1 jam perjalanan. Jadi saya haraplah supaya pihak Kerajaan membina satu laluan sementara dengan kadar segera insya-Allah.
Keduanya, berkaitan dengan isu di Stesen ECRL. Kita tak lama lagi lah, tiga, dua tahun lagi, tak sampai dua tahun pun, Projek ECRL ini akan siap sepenuhnya dan kita perlu membuat persiapan untuk membangunkan kawasan persekitaran stesen-stesen ataupun disebut konsep (TOD) Transit Oriented Development.
Pembangunan ini perlu dirancang secara rapi bersama dengan pelbagai pihak antara Negeri dan Federal dan melibatkan pihak MITI, Pihak MIDA, UPEN, Unit Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan lain-lain agensi. Saya ingin bertanya khusus untuk Stesen ECRL Kuala Terengganu iaitu di Durian Guling kerana stesen tersebut berhampiran dengan Kuala Berang dan merupakan stesen yang terbesar di Negeri Terengganu kita ini. Jadi perancangan yang rapi dan jelas, bersasar dan memberi impak yang maksimum kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial mungkin perlu membuat pengambilan tanah dan sebagainya. Sudah tentu untuk memberi galakan kepada pelabur, kita menyediakan insentif-insentif tertentu seperti pajakan tanah yang mesra kepada pelabur, pengecualian cukai atau cukai yang minimum sahaja, penyediaan infra dan lain-lain insentif. Jadi saya ingin tahu sejauh manakah TOD ini terlaksana khusus untuk seksyen Kuala Terengganu ini. Kita perlu segera kerana time is money.
Ketiganya, berkaitan dengan solar farm. Kita dimaklumkan Negeri Terengganu ada sebanyak 316 megawatts solar di atas tanah yang seluasnya 662 ekar semalam. Jadi secara kasarnya dua hektar tanah menghasilkan satu megawatts. Saya sokong kenyataan EXCO semalam, di masa hadapan kalau nak buat solar farm disyorkan di atas tanah yang terbiar ataupun yang tidak produktif. Tanah yang subur kita simpan untuk tanam tanaman. Antara alternatif kita selain daripada atas tanah ialah floating solar. Cumanya dinyatakan pengurusan pentadbiran dan lain-lain kelulusan oleh agensi kerajaan mengambil masa yang panjang. Diberi tahu tiga hingga lima tahun. Jadi harap pihak Kerajaan melihat dan fokus permasalahan ini yang boleh membantu perkembangan solar farm kita. Dia ada satu akta iaitu berkaitan dengan Pemeliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar atau dipanggil KSAS tahap satu. Jadi pihak kita hendaklah berbincang secara serius dengan Kerajaan Federal kerana kalau kita terlepas tak boleh nak buat apa-apa di tasik kita yang luas ini, 36 ribu hektar sudah tentu kita tidak mendapat hasil dan merugikan kepada negeri kita ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, satu lagi permasalahan di peringkat kawasan saya, kawasan hulu ialah haiwan berkeliaran di jalan raya. Walaupun isu ini sudah lama tapi nampaknya tiada ending lagi. Lembu dan kerbau masih merayau di LPT 2, Jalan-jalan Federal dan juga di jalan-jalan Negeri dan juga di jalan-jalan daerah. Baru-baru ini orang kampung sayalah di Kuala Berang meninggal kerana terlanggar lembu, sebelum itu sorang lagi jiran saya accident langgar sekumpulan lembu di LPT 2 menyebabkan kecederaan kekal dan total lost kepada kenderaan yang baru saja dibeli. Jadi saya berharaplah pihak berkuasa tempatan dan Pemegang Konsesi LPT 2 buat sesuatu. Buat masa ini, LPT 2 telah membuat penambahbaikan dan sentiasa memantau pagar keselamatannya. Terima kasih, tetapi adakala berlaku penerobosan. Bulan puasa baru-baru ini, kebetulan saya lalu di LPT 2 arah utara daripada Kuala Berang ke Bukit Gemuruh berhampiran dengan R&R Ajil, saya terserempak sekumpulan kerbau lebih kurang 20 hingga 25 ekor dalam kawasan berpagar tetapi berhampiran dengan guard rail. Jadi ini sudah tentu amat bahaya kepada pengguna-pengguna.
Saya mencadangkan supaya denda yang tinggi dikenakan ke atas pemilik ternakan yang membiarkan haiwan peliharaannya berkeliaran dan sekiranya berlaku kemalangan, penalti yang lebih tinggi perlu dilaksanakan. Ada makluman, sekarang ini di peringkat majlis daerah dibekalkan senapang dan ubat pelalli. Diharapkanlah semasa operasi, sekurang-kurangnya kita kena ada dua senapang, saya dimaklumkan hanya ada satu sahaja senapang. Jadi rugi. Kalau kita ada dua senapang, kita boleh tembak dua dalam satu masa. Hahahah, haaa rugi sangat. Perlu juga diberi latihan kepada penembak-penembak ataupun orang yang nak menangkap terutama kepada kerbau. Kerana apabila dia tembak kerbau ini, dia rebah, berat, susah kita nak alih. Jadi perlu kita belajar kaedah-kaedah supaya nak tangkap kerbau ini macam mana. Jadi saya mencadangkan mana-mana haiwan yang masuk dalam sempadan lebuh raya, haiwan tersebut dianggap tiada lagi pemilik, dengan kata lain, pemilik hilang hak ke atas ternakan tersebut ataupun lucut hak. Nampak keras tetapi sesuai memberi pengajaran kepada pemilik. Kita perlu ubah Enakmen supaya selari dengan hasrat kita itu. Izinkan saya sedikit masa lagi Yang Berhormat Dato’.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya suka berpindah kepada isu lain juga iaitu yang berkaitan dengan musuh tanaman yang lain iaitu monyet, sebagaimana yang disebut Telemong, Telemong, saya tak tahu, tak mahu sentuh berkaitan gajah atau khinzir. Monyet sudah menjadi musuh yang nyata di Hulu Terengganu. Penanaman jagung, pisang, buah-buahan termasuk durian sudah
tidak selamat lagi. Kos untuk menjaga tanaman bertambah yang menyebabkan petani rasa tawar hati, tak untung mana dan membebankan. Tanam kelapa dicabutnya umbut kelapa, kos untuk membuat pagar, gali parit, pemasangan kawat elektrik, upah jaga dan masa yang digunakan untuk mengawal monyet di kebun. Jadi, sudah tentu ini membebankan. Telemong kata waktu sembahyang Jumaat, orang puang kena jaga kebun. Pahtu dia kata monyet pulak dok takut ke orang puang. Saya berharap pihak Kerajaan buatlah sesuatu. Kasihan kepada petani-petani rakyat kita, saya pernah menyertai kumpulan gotong-royong tembak monyet tetapi hasilnya tak sebanyak manalah dapat ditembak. Peluru pulak mahal jadi pemilik senjata api pun tak ramai. Hok yang marinya sikit sahaja kerana sekarang ini senapang tak berapa ada. Hok dulu kepunyaan RELA telah ditarik balik oleh pihak PDRM. Jadi saya haraplah pihak PDRM memberi kembali peluang semula kepada RELA untuk memiliki senapang. Jadi saya nampak setakat ini, tindakan yang berkesan tak efektif untuk membasmi kumpulan monyet ini malah semakin banyak jadi kurang efektif tetapi monyet koho banyok sehinggalah ke taman-taman, ke rumah-rumah dan ke tong-tong sampah yang menyebabkan mangsa pembulian monyet yang menjadi ketara sekarang ini.
Satu lagi, ringkasnya saja, isu yang ke enam, berkaitan banjir di Hulu Terengganu. Kita di Hulu Terengganu, ada dua sungai. Yang penting, iaitu Sungai Berang hulunya di Belukar Bukit dan juga Sungai Tersat hulunya di sekitar kawasan Sekayu. Dua sungai berkenaan bercantum dekat dengan Kampung Buluh. Boleh dikatakan setiap tahun berlaku banjir di Kuala Berang limpahan dari kedua-dua anak sungai tersebut. Sebelum dibuat Dam Kenyir tahun 1984, Hulu Terengganu memanglah mengalami banjir yang besar dan durasinya lebih lama, inilah kelebihan apabila dibuat dam yang dibina dapat mengurangkan banjir dan jugak dapat hasil dengan menjana elektrik. Jadi, saya mencadangkan supaya satu dam dibina di Hulu Sungai Berang iaitu di Hulu Kampung Belukar Bukit dengan itu banjir dapat dikurangkan dan kita dapat menjanakan elektrik. Satu lagi saya mencadangkan supaya dasar sungai… haa ini apa yang disebut oleh Telemong tadi. Dasar sungai kita ini dah tohor dah kerana pembangunan berpuluh-puluh tahun kalau orang zaman dulu boleh bawak perahu besar, jong besar masuk ke Kuala Berang tetapi hari ini telah cetek jadi saya mencadangkan kepada pihak kerajaan dan juga JPS, kita pakat gali atau berilah projek ini kepada siapa-siapa gali Sungai Berang, gali Sungai Tersat, Sungai Po termasuklah jugak Sungai Telemong dan juga sungai utama, Sungai Terengganu ini supaya air cepat mengalir dan kapasitinya boleh tampung lebih banyak air. Tetapi walaupun ada
keburukan di sana, akan berlaku bila air laju ni akan berlaku hakisan dan juga banjir di Kuala Terengganu. Tapi kita pakatlah, kita pakatlah fikir bersama sama untuk kebaikan bersama. Akhir kata, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan. Doakan supaya negeri kita ini Maju, Berkat dan Sejahtera, patik Menjunjung Kasih di atas Titah Ucapan Al-Sultan. Kuala Berang turut menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Berang. Seterusnya ada Yang Berhormat. Silakan Yang Berhormat Kuala Besut.
Silakan Yang Berhormat Kuala Besut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO dan Yang Berhormat ADUN-ADUN. Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Media, dan para pemerhati yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Maha Mulia Sultan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang ke-15. Pada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pada persidangan kali ini, saya ingin menyentuh empat perkara yang penting melibatkan kesejahteraan rakyat di kawasan saya dan umumnya rakyat Negeri Terengganu iaitu projek perparitan, industri keropok dan isu santan dan keperluan mencari sumber pendapatan baru bagi Negeri Terengganu.
Pertama, isu perparitan. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKR, kerjasama JPS, Kerajaan Negeri atas pelaksanaan dua projek perparitan utama yang telah sekian lama dinantikan oleh penduduk di kawasan Taman Sri Intan di Kampung Pachakan, Alhamdulillah, projek pertama yang telah siap sepenuhnya di sekitar Taman Sri Intan telah menunjukkan kesan positif ketika musim tengkujuh yang telah melanda di penghujung tahun lepas, kita lihat air yang biasanya melimpah dan bertakung, kini cepat surut, ini bukti bahawa usaha yang dilakukan memberi manfaat terus kepada rakyat. Projek kedua pula sedang rancak dalam pembinaan di sempadan negeri, iaitu di Kampung Pachakan, insya-
Allah, dalam tempoh lebih kurang tiga bulan lagi, projek ini akan dijangka siap. Kita harap dengan siapnya projek ini masalah air termenung yang sudah berlarutan sekian lama dapat diselesaikan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat, namun saya ingin menarik perhatian Dewan ini bahawa masih ada jajaran sistem perparitan yang perlu diberi perhatian segera, khususnya di kawasan tengah laluan dari Kampung Tok Sabuh, yang melalui beberapa kampung seperti Kampung Alor Jejawi, Kampung Alor Teratai dan berakhir di Sungai Naik. Saya mohon pihak kementerian dan agensi yang terlibat untuk membuat tinjauan serta mempercepatkan perancangan bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan ini agar ia tidak terus menjadi masalah kepada penduduk, terutamanya bila tiba musim hujan.
Kedua, industri keropok sebagai pemakin ekonomi dan pelancongan. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh berkenaan industri keropok iaitu industri kecil yang telah lama menjadi sumber pendapatan kepada ramai penduduk di kawasan kami. Namun begitu, saya percaya industri ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai aktiviti ekonomi domestik semata-mata, saya menyeru pihak kerajaan untuk mengangkat industri ini sebagai salah satu produk pelancongan tempatan yang banyak negeri sudah berjaya menjadikan produk makanan tradisional sebagai tarikan pelancong, mengapa tidak kita juga? Pihak Kerajaan juga perlu membantu dari segi pembangunan kapasiti seperti memperkemaskan infrastruktur kilang, memperbaiki reka bentuk pembungkusan serta memberi latihan dan pendedahan pemasaran digital kepada para pengusaha. Bayangkan jika kilang-kilang ini dijadikan lokasi lawatan sambil belajar yang bersih, ceria dan menarik, ia bukan saja menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha, malah memberi impak ekonomi kepada kawasan sekitarnya melalui sokongan lain seperti pengangkutan, penginapan, dan pemakanan.
Ketiga isu santan, cadangan penanaman kelapa. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, isu harga santan telah menjadi satu nasional, kenaikan harga siling hampir 100% sangat membebankan rakyat pada hari ini, terutama peniaga kecil, pengusaha makanan dan pengguna harian. Ini bukan sekadar dapur, ini soal kelangsungan hidup ramai rakyat marhaen. Saya mencadangkan agar Jabatan Pertanian Negeri mengambil langkah proaktif dengan membuka ladang-ladang kelapa secara berkala besar, terutamanya di tanah-tanah terbiar milik Kerajaan Negeri, selain dapat menstabilkan bekalan dan harga santan, langkah ini juga boleh membuka peluang pekerjaan baru khususnya kepada golongan belia yang
masih ramai menganggur, ini juga satu bentuk pelaburan jangka panjang yang mampu menjana pendapatan negeri, selain memberi kesan lipahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Keempat, keperluan sumber pendapatan baru, akhir sekali saya ingin menegaskan keperluan mendesak untuk Kerajaan Negeri mengurangkan pergantungan terhadap hasil petroleum sebagai sumber utama kewangan negeri.
Realitinya, kebergantungan ini tidak lagi relevan dalam landskap politik ekonomi semasa. Seperti yang kita semua maklum, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang ini, PMX telah menyekat pembayaran ekonomi yang sepatutnya diterima terus oleh Kerajaan Negeri. Kami, jumlah yang telah ditetapkan, tidak disalurkan seperti yang dijanjikan. Ini menjejaskan perancangan pembangunan negeri, akhirnya memberi kesan kepada rakyat di bawah. Sudah sampai masanya, berani meneroka sumber pendapatan alternatif seperti sektor pelancongan, desa, industri kecil dan sederhana (IKS) serta pengurusan sumber semula jadi secara mampan. Ini perlu digerakkan dengan serius, bukan sekadar dalam kertas dasar, tetapi dilaksanakan di lapangan dengan kerjasama pelbagai pihak.
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, kesimpulannya saya ingin tegaskan bahawa usaha menyelesaikan isu asas rakyat seperti sistem peparitan, memajukan industri kecil seperti keropok dan mencari sumber pendapatan baru untuk negeri, bukanlah isu sampingan, ia adalah asas kepada kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di kawasan kami dan seluruh Negeri Terengganu. Saya mohon agar semua perkara yang dibangkitkan ini dapat diberi perhatian sewajarnya oleh agensi yang berkaitan. Dengan ini, Kuala Besut menyokong penuh Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Besut, ada Yang Berhormat…, sila Yang Berhormat Seberang takir.
Yang berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, sahabat-sahabat, Yang Berhormat Yang Berhormat menyokong Kerajaan, para pemerhati yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Terima kasih pada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua kerana memberi sedikit peluang pada saya untuk sama-sama menyertai perbahasan bagi menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan di atas berkenan baginda hadir ke Dewan ini Bertitah dan seterusnya merasmikan persidangan pada kali ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia telah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dalam Titah baginda, kerana beberapa perkara. Yang saya perhatikan, pertama, kerana Kerajaan Negeri ini disebut telah berjaya memacu pertumbuhan positif dalam sektor pertanian. Yang kedua, Kerajaan Negeri juga telah berjaya meneroka potensi baru dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya dalam industri solar.
Jadi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan pimpinan Kerajaan Negeri kerana telah mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada Duli Yang Maha Mulia al-Sultan di atas kerja-kerja dan usaha-usaha yang telah dilakukan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, apa yang terkandung di dalam Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan yang merangkumi pelbagai aspek pentadbiran, pengurusan ekonomi dan sebagainya, menunjukkan kepada kita bahawa Duli Yang Maha Mulia al-Sultan sentiasa mengikuti usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan serta perkembangan yang berlaku di dalam negeri ini. Alhamdulillah, kita mempunyai seorang Sultan yang mengambil berat hal ehwal negeri dan juga kebajikan dan maslahah rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seperti jawapan yang dikemukakan oleh wakil kerajaan pada pagi tadi, sesi pagi tadi. Tenaga solar yang sedang diusahakan oleh kerajaan yang sebahagiannya telah siap akan menghasilkan pendapatan yang besar untuk negeri ini sebagai satu sumber yang baru kepada sumber-sumber yang telah diperolehi sebelum ini. Saya campur-campur apa yang disebut oleh wakil Kerajaan tadi, termasuk segala cukai kepada majlis daerah, kepada jabatan hutan dan sebagainya. Daripada projek ini apabila siap keseluruhannya, ia akan
memberi pulangan lebih daripada RM45 juta setahun kepada Kerajaan Negeri. Tahniah, dan sememangnya layak Kerajaan hari ini mendapat penghargaan daripada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.
Dato' Yang di-Pertua, dalam Sidang Dewan yang sebelum ini, pihak Kerajaan menyebut bahawa Kerajaan juga mendapat perolehan daripada perusahaan silika. Tetapi sangat mendukacita kita kerana hasil yang diperolehi sangat kecil berbanding dengan apa yang telah diusahakan, yang telah diambil, dikorek daripada bahan bumi kita. Apa yang disebut dalam Sidang Dewan yang lepas tak sampai satu juta daripada berapa ratus ekar yang telah diluluskan. Maka apa yang saya nak disebut di sini ialah kerajaan hendaklah dan sepatutnya di masa akan datang melihat kepada perkara ini supaya setiap perusahaan, kerana ini antara hasil yang kita akan perolehi selain daripada petroleum dan gas. Kita ada silika, kita ada NREE, kita ada bahan-bahan galian yang lain. Jika kita memberi kelulusan perlombongan pada syarikat-syarikat tertentu ataupun mana-mana agensi yang melakukannya tapi kita hanya mendapat pulangan yang sedikit ini sudah tentulah tidak berbaloi. Saya percaya dengan kandungan ataupun simpanan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri atau Negeri Terengganu ini yang dikatakan mempunyai stok silika yang paling besar di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini, sudah tentulah jika ini diusahakan dengan baik kita akan dapat menambahkan lagi pendapatan dengan lebih besar lagi. Hari ini kita bergantung kepada petroleum semata-mata dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah sebut sumber daripada petroleum dan gas ini ada hadnya. Tidak selama-lamanya akan kekal. Maka usaha untuk cari pendapatan baru seperti yang telah kita sebut, solar dan sebagainya. Mesti ada lagi. Satu point bilion lebih kita bergantung kepada petroleum dan gas. Kalaulah ini tidak diganti kita akan terus mentadbir dalam keadaan kewangan yang tidak cukup, jika itulah yang kita hadapi pada hari ini tidak dapat diselesaikan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya rasa Kerajaan Negeri sedia maklum kita ada macam-macam syarikat di bawah Terengganu Incorporated. Kita ada yang saya tahu Epic Solar Sdn. Bhd. pun ada. Mungkin kalau kita buat sendiri melalui anak syarikat kita, kita mungkin boleh penghasilan lebih daripada RM40 juta lebih setahun. Kalau kita buat sendiri, itu baru kita bagi ke orang lain buat, dan keluasan Tasik Kenyir ini banyak, luas lagi. Jadi sudah tentulah banyak peluang. Hari ini orang kenal Terengganu, Tasik Kenyir menghasilkan sebahagian besar tenaga elektrik di Semenanjung melalui hidro. Sudah tentu kalau kita berjaya kembangkan industri ataupun ladang solar ini suatu masa nanti Terengganu juga akan dikenali
sebagai pembekal sumber elektrik yang kedua terbesar selain daripada hidro, dia telah melalui ladang-ladang solar.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, alhamdulillah dalam Sidang pada kali ini seperti yang dimaklumkan, Dewan menerima paling banyak Soalan-Soalan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat dikemukakan untuk dijawab oleh pihak Kerajaan. Dan kita sedia maklum disebut sendiri oleh Yang di-Pertua, daripada 188 soalan yang dikemukakan ini, sebahagian besarnya berkisar kepada soalan yang berkaitan dengan infrastruktur dan kemudahan awam. Saya rasa kita tidak pelik dan sudah dapat maklum kenapa berlaku demikian. Kerana banyak kemudahan-kemudahan awam infrastruktur yang dikemukakan oleh Wakil-wakil Rakyat oleh masyarakat kita tak berjaya dilaksanakan kerana Kerajaan mempunyai halangan dari segi kewangan. Dan saya sedia maklum, ini adalah merupakan halangan utama Kerajaan pada hari ini. Di Seberang Takir pun banyak benda-benda yang kita mohon kerajaan buat, tapi tak terlaksana lagi sehingga hari ini. Jeti bot penambang di Seberang Takir, ini adalah suatu benda yang lama dah berlaku. Dulu orang sebelah sana mari Kuala Terengganu naik bot penambang. Sebelum ada Jambatan Sultan Mahmud, sebelum ada jambatan gantung. Hari ini orang mari Pasar Payang, kadang-kadang tempat letak kenderaan penuh. Ada sebahagian orang pergi ke Seberang Takir naik bot penambang tambang RM2.00 je...lebih murah daripada parking kereta. Tapi, tempat ini tidak mempunyai kemudahan yang baik. Tempat parking pun dok banyak. Laluan nak masuk ke tempat bot penampang, jeti bot penampang di Seberang Takir tu pun kadang-kadang orang dok nampak, kecil je jalan. Ada cadangan untuk pengambilan tanah. Ada cadangan supaya dibina kompleks untuk jeti di situ, tapi sehingga hari ini masih belum dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan. Kalau saya soal se lagi hari ini, mungkin jadi 189 Soalan dalam Dewan kali ini.
Jadi Dato’ Yang di-Pertua, selain daripada itu kalau saya nak sebut di Seberang Takir ini saya ambil yang paling penting. Antaranya jalan daripada Jambatan Gantung ke Teluk Ketapang. Setiap kali musim monsun berlaku, akan berlaku ombak besar dan kadang-kadang air laut ini membawa batu-batu naik ke jalan. Dan satu masa, setiap tahun ada pada malam yang ombak besar berlaku, jalan ini terpaksa ditutup. Itu satu masalah yang memang kita tak dapat elak. Tetapi yang saya dimaklumkan, yang saya perhatikan ada sebahagian batu-batu yang dijadikan sebagai tambak ini dah semakin turun dan semakin jatuh dan di hujung batu tambakan ini dah berlaku sedikit mendapan dan ada saya dapat makluman, dah
ada tanah-tanah yang jatuh di bawah itu. Jadi saya harap pihak yang berkenaan sama ada JPS, JKR, tolonglah tengok masalah ini, jangan dibiarkan sehingga jadi macam jalan di Batu Rakit. Bila ombak duk mari sokmo, akhirnya jalan runtuh, dia dok naik atas jalan tapi dia turun ke bawah tu. Jadi saya harap pihak yang berwajib mari tengok dan pastikan supaya jangan sampai jatuh dulu jalan, dia gelonggong dah kat bawah, baru kita nak buat.
Dato’ Yang di-Pertua, banyak lagi yang saya nak sebut. Bagi saya seminit dua lagi ya. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Di antara Teluk Ketapang sampai ke Jambatan Gantung ini, dia adalah jalan yang sangat popular, jalan utama. Orang memang lalu ikut tu kalau nak mari ke Kuala Terengganu sebab jalan ini ada pemandangan yang cantik, ada tempat rekreasi yang baik dan ramai orang duduk situ. Saya dimaklumkan Kerajaan juga mencadangkan untuk membina sebuah gelanggang bola sepak pantai di situ. Tapi saya tak tahu bila nak buat lagi ini. Saya takut jadi macam hok projek yang lain, setiap kali Dewan, dokkan saya nak tanya. Jadi saya harap Kerajaan boleh letak satu had masa. Setahun lagi ke? Dua tahun lagi ke? Kalau boleh biarlah sebelum habis penggal ni. Jangan habis penggal ni. Doh la Seberang Takir ni orang luar mari, takdok mende se habuk pun hok baru bawok. Biar ada satu benda yang baru yang dalam penggal ni kita boleh buat sekurang-kurangnya dua tiga perkara. Naik taraf jeti bot penambang di Seberang Takir dan juga kawasan rekreasi dengan gelanggang bola sepak pantai di Pantai Teluk Ketapang. Saya minta perkara ni diberi sedikit perhatian oleh pihak Kerajaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, akhir sekali Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan juga sebut, bajet pada tahun ini telah diluluskan dengan jumlah lebih RM1.8 billion. Apa yang saya faham tahun lepas pun RM1 bilion lebih juga. Saya mohon kalau Kerajaan boleh maklumkan daripada jumlah bajet tahun lepas, 1.6 atau 1.7 berapa ni. Berapa sebenarnya kita dapat sebenar duit yang masuk ke akaun Kerajaan dan berapa sebenarnya yang kita baik dan yang kita belanjakan. Tahun ni 1.8 ni hok hasil yang Kerajaan kutip melalui cukai, bukan cukai ni mungkin dalam RM300-RM400 juta. Hok RM1 bilion lebih lagi ni berapa kita agak-agak akan dapat. Sebab bunyi bajet ni orang kampung orang bawah ni dia kata, duit banyak bajet besar, hok tu dokleh buat, hok ni dokleh buat. Biar kita boleh bisik ke orang kampung, bajet tu anggaran pendapatan. Tapi sebab duit 5% takdok mari, kita boleh banyak ni je. Hok tu yang kita belanja ni. Sebab tu dokleh wak bende tu, dokleh wak bende ni. Biar senang orang faham. Dan kita faham
masalah ni bukan boleh selesai dengan senang. Sebab tu Dato’ Yang di-Pertua, kita takdok usaha lain doh. Yang Amat Berhormat dengan Wakil-wakil Kerajaan memang sentiasa berunding dengan Kerajaan Persekutuan. Tapi pada saya, sebagai orang yang beriman, sebagai orang Islam, dipimpin pula oleh Kerajaan yang mendukung pelaksanaan syariah dan agama Islam ni kita kena sentiasa dan banyakkan doa, mintak kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, biar dipermudahkan urusan ini, biar dikembalikan hak ini kepada negeri, hak kita. Orang mukmin ni, akhir sekali senjata dia adalah doa. Doa ni adalah senjata orang mukmin. Hok ni jelah. Kalau kita sendiri rasa dok yakin dengan doa, maknanya takdoklah keyakinan kita pada agama kita. Doa ni kita kena yakin setiap apa yang kita mintak, Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan bagi. Cuma macam ustaz-ustaz tok guru duk kabo, kadang-kadang kita minta anak kita biar belajar, biar cerdik, biar lulus SPM cemerlang, biar masuk universiti, dia akan boleh kerja dengan baik. Tuhan dok bagi anak kita berjaya dalam pendidikan, dok masuk universiti, SPM pun cukup-cukup makan, tapi bila Allah Subhanahu Wa Ta’ala terima doa kita, anak kita hok dok masuk universiti tu boleh kerja sama ada berniaga, buat usaha tu, buat usaha ni, dia dapat kerja, pendapatan sama dengan hok makan gaji dengan Kerajaan, sama dengan pendapatan orang hok keluar universiti tu. Ramai orang hok dok masuk universiti pun, kerja dia gaji besar pada gaji orang hok makan gaji keluar daripada universiti. Sebab apa? Allah Subhanahu Wa Ta’ala beri kepada dia, mungkin kerana mak ayah dia mintak. Dia dok masuk universiti tapi boleh serupa dengan orang hok keluar universiti. Jadi begitu juga, apabila kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mungkin Allah Subhanahu Wa Ta’ala tak buka pintu hati pemimpin-pemimpin di atas untuk beri hak kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini, yang sepatutnya segala sumber negeri ini diberikan kepada Kerajaan ini yang telah dipilih oleh rakyat untuk mentadbir dan belanja sebagaimana yang dirancang. Maka mungkin kalau Allah Subhanahu Wa Ta’ala tak bagi ikut tu pun, mungkin Dia bagi ikut cara lain. Antaranya macam ikut solar tadi ada dah RM45 juta. Tapi RM45 juta nok sapa ke RM1.4 bilion ni mungkin jauh lagi. Tapi banyak lagi mungkin ruang-ruang yang boleh dibuat. Kalau Allah Subhanahu Wa Ta’ala tak bagi ikut 5% daripada perolehan minyak tu, kita harap Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi ikut lain.
Jadi Dato Yang di-Pertua, ini adalah sesuatu yang kita kena buat sokmo. Doalah. Saya rasa, kita hok lain takdok. Saya pong kadang-kadang mitok sokmo. Kalau ingat, saya mitok. Dok kiralah. Sebab inilah yang kita boleh buat. Inilah ikhtiar akhir kita. Dulu seorang pemimpin selalu sebut, dok apalah Kerajaan buat gitu,
dok apalah Kerajaan buat gini sewaktu dia jadi pembangkang. Dan akhir sekali dia baca apa:
(Surah Al-Imran Ayat 54)
Hari ni kita tengok pulok, dia buat tindakan, dia buat alasan, dia guna cara-cara, taktik-taktik untuk melemahkan kita. Sekat hoktu sekat hokni, buka situ tutup sini. Dia rancang tapi Allah juga rancang dan kita yakin Allahlah sebaik-baik perancang. Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kerana beri saya sedikit masa tambahan, 6 minit. Jadi 15 minit. Macam hok sebelah sana jugak ni. Terima kasih. Saya mengakhiri dengan sekali lagi merafakkan setinggi-tinggi. Terima kasih, Menjunjung Kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah sudi, yang telah berkenan hadir ke Dewan Bertitah dan merasmikan Dewan kita pada kali ini. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Seberang Takir. Saya nak sekat pun napok semangat dan kawan-kawan pun semangat, Yang Berhormat-yang berhormat lain mendengarnya.
Kita telah selesai perbahasan menyokong Usul Titah Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia. Terima kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Jadi kita akan teruskan persidangan ini dengan, saya akan mempersilakan pihak Kerajaan membuat penggulungan ke atas perbahasan ini. Saya bercadang untuk menamatkan semua perbahasan daripada Yang Berhormat pihak Kerajaan hari ini dan kita akan bagi ruang untuk penggulungan Yang Amat Berhormat Menteri Besar esok. Jadi Yang Berhormat pihak Kerajaan dapat menepati masa yang sewajarnya hari ini. Insya-Allah seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Kota Putera untuk memulakan sesi penggulungan pada hari ini.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua yang memberikan ruang kepada saya untuk memulakan sesi penggulungan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato Seri Ir. Menteri Besar Negeri Terengganu, rakan-rakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan negeri dan federal, rakan-rakan media, pemerhati seterusnya tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu izinkan patik menzahirkan tanda taat setia patik dengan merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas Titah Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kali Ke-15 pada Isnin yang lepas.
Patik menjunjung kasih atas Titah Tuanku yang menyentuh mengenai usaha dan inisiatif Kerajaan dalam meningkat penjanaan pendapatan baru melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baru “New Income Terengganu” dengan izin dengan memanfaatkan potensi sumber tenaga lestari iaitu solar dan teknologi hijau serta peningkatan kapasiti kargo di Dermaga Timur Pelabuhan Kemaman yang pastinya akan menambah nilai ekonomi kepada negeri dalam mengurangkan kebergantungan negeri kepada penerimaan hasil petroleum.
Patik bagi pihak Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk melihat potensi dan peluang demi masa depan Terengganu Darul Iman, insya-Allah. Saya ucapkan terima kasih juga kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih ke atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri kali Ke-15 ini.
Di kesempatan ini tidak terlambat bagi saya merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan dan wakil serta pegawai-pegawai kerajaan serta pemerhati di dalam Dewan dan juga yang menonton siaran secara langsung dengan ucapan . Selain daripada itu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi dan Syarikat-syarikat Berkait Kerajaan (GLC) yang menggerakkan portfolio saya termasuklah juga agensi Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan yang bekerja keras dalam memastikan portfolio saya dan juga jawatankuasa New Income Terengganu (NIT) bergerak bagi mencapai target dan sasaran. Terima kasih khasnya kepada team PTG yang diketuai oleh Dato’ Ishamuddin, team UPEN yang diketuai oleh Dato’ Tun Ahmad Faisal, team Invest, team PMINT, team MIDA, team ECR, team TSIS, team MBI dan team TI dan banyak lagi agensi-agensi dan anak-anak syarikat yang tidak dapat saya sebutkan kesemuanya kali ini. Mereka ini umpama enjin. Tanpa enjin yang berfungsi dengan baik, sudah tentu kenderaan tidak dapat bergerak sehingga ke destinasi yang dituju. Terima kasih semua saya ucapkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mengikut pengamatan saya, tidak kurang sembilan Ahli Yang Berhormat yang telah berbahas dan menyatakan cadangan, teguran dan pandangan masing-masing yang melibatkan potfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau. Berdasarkan isu-isu yang dibahaskan, terdapat beberapa perkara utama yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang tempoh perbahasan yang akan saya cuba sentuh dalam ucapan penggulungan pada pagi yang mulia ini.
Sebelum saya memulakan jawapan ataupun sentuhan kepada perkara yang disebutkan, dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, saya ingin berkongsi perkembangan terkini mengenai kemajuan perindustrian dan pelaburan yang sedang giat diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri bakal memiliki terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) yang akan mencipta sejarah sebagai terminal LNG pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh entiti swasta iaitu bukan PETRONAS. Kita namakan projek ini adalah RGT iaitu Regas Terminal. Ianya akan beroperasi di bawah rangka kerja third party access (TPA) yang terletak di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman. Di bawah skim ini, terminal akan menggunakan rangkaian Peninsular Gas Utilisation (PGU) dengan persetujuan PETRONAS bagi pengagihan akhir gas ke industri dan pelanggan utiliti di Pantai Timur dan sekitarnya. Projek ini juga berada
di peringkat akhir sekarang ini untuk mendapatkan lesen operasi daripada Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission) di samping dimuktamadkan aspek pelaksanaan dan pematuhan alam sekitar (EIA) dan keperluan infrastruktur. Salah satu rakan strategik penting dalam projek ini adalah Menteri Besar-Incorporated (MBI) yang akan menjadi rakan pemegang entuiti dalam pelaburan ini dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) yang akan menyediakan tapak projek untuk kemudahan terminal serta terlibat dalam penyediaan kemudahan pelabuhan termasuk akses jeti, utiliti berkaitan serta khidmat marin untuk aktiviti perkapalan. Kerja-kerja pembangunan projek ini dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2026 dan operasi komersial penuh disasarkan pada suku pertama tahun 2028.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri dalam usahasama dalam industri silika telah memperkasakan kerjasama erat dengan Terengganu Silica Consortium. Beberapa pertemuan, beberapa mesyuarat telah diadakan bagi menyelaraskan tindakan di peringkat syarikat dan juga Kerajaan Negeri supaya hala tuju kami bersama dengan hala tuju syarikat ataupun TSC. Alhamdulillah, dalam pertemuan telah disambut baik oleh pihak Terengganu Silica Consortium dan kita memperolehi beberapa perkara yang sepatutnya Kerajaan dapat juga mileage terhadap aktiviti yang telah dilaksanakan. Saya ingin sebutkan
Boleh celah YB, Yang di-Pertua?
Sila Yang Berhormat.
Daripada perancangan ini ialah kalau dulu Yang Berhormat sebut dari satu tan itu kita dapat berapa riya je. Hokni ini melalui usaha baru ini, perancangan baru dengan syarikat yang kita janjikan ini, yang kita rundingkan ini, satu tan yang YB sebut dulu 70 dolar itu kita boleh berapa daripada itu? Terima kasih.
Sila Yang Berhormat.
Ya. Terima kasih Seberang Takir. Gitu lah. Saya ingin mencelah juga Dato’ Yang di-Pertua. Semasa saya bentangkan dalam sidang yang lepas, Timbalan
Yang di-Pertua Seberang Takir pada waktu itu duduk di atas. Disebut apabila saya ceritakan, disebut saya sebagai pembangkang. Sehingga sedutan video itu dijadikan, dimainkan oleh pembangkang pihak luar. Saya pada waktu itu bukan bersifat pembangkang. Kita kerajaan kita telus untuk membicarakan apa yang berlaku. Kita lontarkan dulu apa ni, problem statement dan kita ada jalan penyelesaian tetapi dalam penjelasan saya dalam problem statement telah dihalang ataupun disebut sebagai wakil pembangkang. Ini saya minta Ahli Dewan supaya kita kembangkan pemikiran kita. Kita kena sebut perkara yang walaupun pahit untuk kita selesaikan masalah itu. Bukan masalah pembangkang ataupun kerajaan. Jadi terima kasih atas celahan tadi. Saya akan sebut berkenaan dengan perkara ini tetapi tidaklah spesifik sepertimana yang lepas. Saya tidak sediakan teks sebab yang lepas itu dah lepas dah, dah habis dah dan teks itu telah saya kemukakan untuk kita lihat sebagai Hansard Dewan.
Jadi apa yang saya, sambung daripada apa yang nak saya sebutkan tadi adalah lepas daripada Terengganu Silica Consortium ini bukan baru, dia telah memulakan sejak 2015 dan selepas pada itu tidak ada satu kerjasama yang erat antara pihak syarikat dengan Kerajaan dan alhamdulillah kita cuba perkasakan dan sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita telah dapat beberapa input yang sepatutnya kita Kerajaan Negeri dapat merasai apa yang berlaku dalam negeri Terengganu. Antaranya adalah penggunaan kapal korek elektrik yang pertama bukan di Malaysia, bukan di Asia Tenggara tetapi di dunia. Ada di Negeri Terengganu ini, yang diusahakan oleh pihak Terengganu Silica. Yang ini sepatutnya Kerajaan Negeri berasa bangga kerana ada teknologi yang Zero Emission kalau kita cakap tentang teknologi hijau, inilah satu-satunya pelaksanaan perlombongan kita tidak menggunakan bahan fosil, tetapi menggunakan elektrik. Jadi perkara ini saya nak bangkitkan dalam Dewan Yang Mulia ini supaya kita rasa proud, kita rasa bangga teknologi ini telah berada di dalam negeri kita. Saya ucapkan tahniah kepada Terengganu Silica atas usaha yang dibuat itu.
Yang keduanya adalah pengeluaran di Negeri Terengganu ini, di kawasan Marang merupakan silika berkualiti tinggi dalam kelasnya iaitu Ultra-Purity Industrial Silica ataupun dengan singkatannya (UPS) atau mudah disebut sebagai Silika Ultra Tulen dengan ketulenan setinggi 99.9% dengan kadar kandungan besi yang sangat rendah iaitu 10 PPM per million, Parts-Per million hingga 80 PPM untuk kegunaan industri khusus seperti pembuatan skrin telefon lipat, skrin komputer, skrin
televisyen serta turut menghasilkan Cristobalite yang merupakan bahan utama penghasilan kaca teknologi tinggi.
Dato’ Yang di-Pertua, rentetan daripada hasil yang ada ini, daripada perut Bumi Negeri Terengganu inilah akan keluarnya yang disebutkan Cristobalite itu. Cristobalite ini untuk pemahaman Sidang Dewan adalah bentuk cermin yang boleh dibentuk dengan aerodinamik. Kalau sekarang ini kita tengok panel-panel solar empat segi dan kalau kita nak letak di atas rumah, di atas bumbung ataupun di padang-padang mungkin akan mencacatkan pemandangan. Tetapi dengan Cristobalite ini, kita boleh ubah papan silika itu kepada yang lebih menarik. Begitu juga kalau di.. Habis masa dah Yang di-Pertua, tak sentuh lagi hok Dewan-Dewan ini. Saya minta sikit tambahan masa sebab ada beberapa perkara lagi yang kita nak sentuhkan bagi makluman Dewan. Iaitu Cristobalite ini dia boleh buat bumbung kereta, dan bumbung kereta sekarang ini bumbung kereta elektrik tidak boleh dibuat kerana tidak ada bahan seperti ini. Kena cas. Tetapi kalau dengan Cristobalite ini dia boleh buat bumbung kereta itu aerodinamik dan bumbung itulah juga adalah solar. Ini dia bahan-bahan yang ada di dalam perut bumi Terengganu ini yang kita perlu hargai sebenar-benarnya.
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Manir ada menyentuh berkenaan dengan pengambilan alih Pelabuhan Kemaman. Tapi sepertimana yang kita maklum Akta Pelabuhan 1963 merupakan Undang-undang Persekutuan yang memberi kuasa mutlak kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan dan mentadbir operasi Pelabuhan Utama Negara. Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) melalui anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn. Bhd. telah menandatangani satu Perjanjian Penswastaan di antara Kerajaan Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Kemaman bermula pada Oktober 2006 dan diberi konsesi selama 30 tahun dan ditambahlanjutan secara automatik 30 tahun. Maknanya 66 tahun kita boleh mengendalikan Pelabuhan Kemaman sehingga tahun 2026. Jadi untuk mengambil alih seluruhnya, Kerajaan Negeri tidak boleh, tidak ada kuasa untuk mengambilnya. Saya rasa Yang Berhormat Manir faham perkara ini cuma yang disebutkannya adalah berkenaan dengan penambahbaikan yang kita boleh buat. Itu dalam ruang lingkup yang kita ada. Jadi insya-Allah mungkin EXCO Infra akan sentuh berkenaan dengan pembesaran Pelabuhan Kemaman nanti. Berkenaan dengan silika juga sebelum saya pergi jauh, Kuala Berang. Eh bukan. Minta maaf lari ini. Kita terus kepada Industri Silika yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat LSR. Haji Zaharudin bin Zahid, Wakil Bukit
Tunggal berkaitan dengan pendapatan Kerajaan Negeri daripada galian silika dan hala tuju Negeri terhadap RUU CCUS.
Untuk makluman Yang Berhormat, hasil yang diperolehi oleh Kerajaan melalui perlombongan dan perusahaan silika pada tahun 2024 adalah berjumlah RM1,0069 46.88. Jumlah tersebut perkiraan kadar royalti lama yang RM1.50 permetrik tan. Untuk tahun 2025 ini, kita pun telah meluluskan dengan kadar royalti yang baru iaitu sebanyak 5% daripada nilai jualan ataupun dengan calculation lebih kurang RM4. Jadi dengan pertambahan royalti ini, insya-Allah akan meningkatkan jumlah daripada RM1.06 juta kepada RM6.529 juta. Perkiraan kadar baru tersebut masih lagi di peringkat rundingan antara pemegang lesen dan pejabat PTG dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Terengganu untuk dimuktamadkan kerana begitulah bila kita lontarkan suatu angka, pihak industry player ini bagi feedback kata tinggi, cuma perbincangan yang diadakan sekarang ini, kita melihat keadaan itu kerana kita melihat demand di peringkat dunia agak walaupun sekarang ini kalau silika agak menurun tetapi masih ada demandnya. Jadi di situlah perbincangan dan insya-Allah kita akan muktamadkan dalam masa terdekat ini insya-Allah. Hasil ini diperolehi melalui pemajak yang telah diberikan kelulusan iaitu di bawah Permint Granite Sdn. Bhd. di Bukit Senyamok, Mukim Abang, Dungun dan juga Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu yang diusahakan oleh Terengganu Silika Konsortium yang saya sebutkan tadi.
Dalam pada itu keberkesanan penguatkuasaan bagi memastikan hasil yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh pengusaha-pengusaha silika ini bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan juga kesediaan pengusaha untuk mematuhi peraturan dan kita mendapat feedback daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian bahawa mereka sekarang ini kekurangan kakitangan dan memohon untuk Kerajaan pertimbangkan untuk meningkatkan kakitangan tersebut insya-Allah kita akan timbangkan nanti. Dato’ Yang di-Pertua…
Celahan Yang Berhormat.
Ya.
Ada celahan daripada Kemasik.
Oh Ya. Sila.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Yang Berhormat Kota Putera. Cumanya nak mencadangkan cadangan instead of daripada kaedah pengambilan hasil konsesi apakah lebih baik jika kita boleh menggunakan pendekatan kontrak perkongsian pengeluaran sebagaimana yang dicontohkan oleh PETRONAS itu sendiri, kalaulah mengikut perkongsian konsesi, pendapatan sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Kota Putera. Tapi saya yakin jika pendekatan yang kita ambil melalui kontrak perkongsian pengeluaran pendapatan ataupun hasil kepada Kerajaan Negeri melalui syarikat Kerajaan Negeri lebih tinggi dan sudah pasti ia lebih sustainable lebih berpanjangan…
Kemasik, Kemasik, sila terus.
Okey. terima kasih Kemasik. Saya sangat bersetuju dengan pandangan tu dan kita pun telah mengambil langkah-langkah ke arah itu, itulah kerjasama kita dengan pihak Terengganu Silica dan sekarang ini untuk makluman Sidang Dewan juga, Terengganu Silica sedang membuka ruang untuk Kerajaan participate dalam pengeluaran dan begitu juga dalam kaedah yang terbaru ini kita mengambil pendekatan untuk pihak kerajaan melalui GLC terlibat sama dalam pengeluaran dan insya-Allah akan berlaku di sebelah Terengganu Utara dalam masa terdekat ini.
Dua minit je Yang Berhormat.
Berapa minit?
Dua minit.
Haa sudoh dokdan sebut doh lah, urmm mana nok cari ni. Okey, saya singkatlah untuk yang CCUS itu sebab agak panjang kerana sekarang ini di
peringkat awal lagi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerjasama erat sedang kita lakukan dan kita ikuti setiap perkembangan yang berlaku. Mungkin Yang Berhormat boleh tanya dalam Sesi Dewan yang akan datang. Berkenaan dengan YB Hulu Besut ada menyentuh pasal pencapaian digital di luar bandar. Kerajaan Negeri melalui Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Telecommunications Sdn. Bhd. (TCOMM) sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan iaitu MCMC (Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia) dalam usaha meningkatkan pencapaian internet di dalam negeri kita. Jadi untuk makluman dan kita dah zoom in oleh kerana pertanyaan ini pertanyaan ini daripada Besut, kita telah melihat pencapaian liputan internet di Parlimen Besut sebenarnya telah mencapai 99.93% yang telah berlangsung di situ. Cuma apa yang berlaku mungkin ada yang rasa tidak ada internet, mungkin capaian liputan internet mudah alih yang kurang baik yang dialami oleh orang ramai kerana beberapa lokasi yang masih lagi dalam peringkat untuk ditambah baik juga disebabkan oleh pakej langganan mereka. Mungkin pakej langganan mereka itu tidak cukup untuk mereka capai akses internet ataupun juga peranti telefon yang digunakan dan juga tetapan pada telefon yang digunakan. Jadi perkara-perkara sedemikian mungkin juga kita boleh ambil kira cuma saya nak ambil kesempatan ini untuk menyebut Yang Berhormat Hulu Besut juga boleh kalau ada complaint daripada rakyat sila dapatkan lokasi di tempat yang boleh serahkan kepada saya ataupun pihak Portfolio untuk kita zoom in tengok apa permasalahannya yang mereka lalui.
Boleh Yang Berhormat rumuskan?
Okay, saya rumuskan dengan sekali yang disebutkan oleh YB Sura berkenaan dengan hidrogen hijau, green hydrogen. Untuk makluman kita semua MBI juga ingin menjelaskan bahawa projek ini berada di peringkat awal di Negeri Terengganu. Semalam Yang Berhormat sebut, hanya sebut sahaja tak nampak lagi. Perkara ini berlaku bukan boleh meeting malam ni, esok menjadi realiti. Kerana ia melalui beberapa dan proses yang kita lalui sekarang ini ada baru (PFS) prefeasible study yang dah siap yang sekarang ini selepas daripada PFS itu siap, kita kemukakan kepada syarikat ini untuk membuat FS, dalam FS ini diberi masa tempoh 12 bulan dan insya-Allah akan habis pada Mac tahun 2026 dan selepas daripada itu barulah kita muktamadkan program ini. Jadi, kita ke arah itu, kita dah selangkah ke arah itu dan insya-Allah dengan kerjasama semua kita akan ke arah keberkesanan dan keberjayaan nanti, insya-Allah. Jadi saya kira walaupun banyak
lagi saya terpaksa potong, cuma satu lagi lah yang pertanyaan berkenaan dengan Fi Pejabat Tanah, daripada pencapaian terkini NIT yang disebut oleh Seberang Takir pada sesi yang lepas untuk NIT ini disebut dilaporkan setiap kali Sidang DUN dan saya ambil sedikit masa Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bahawa pencapaian terkini yang kita rekodkan daripada salah satu strategi kita adalah dengan kajian semula cukai Fi Pejabat Tanah dan Galian yang kita mulakan pada Januari 2025 baru ini, dan sehingga April 2025, Kerajaan Negeri telah menerima hasil bayaran Fi Pejabat Tanah Dan Galian sebanyak RM9.404 juta berbanding RM5.440 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2024. Ini bermakna peningkatan sebanyak 3.964% bersamaan dengan 42% daripada peningkatan hasil bayaran Fi Pejabat Tanah dan Galian yang merupakan hasil daripada inisiatif NIT yang telah berjaya kita laksanakan dengan kerjasama pihak, khususnya pihak PTG sendiri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagai penutupnya saya sekali lagi mengucapkan terima kasih pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat atas pandangan dan input-input yang dikongsikan sepanjang tempoh perbahasan ini yang ada menyentuh berkaitan Portfolio saya, sekian.
Kota Putera mohon menyokong, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera, yang telah menjawab dan menggulung pembahasan dalam tempoh lebih kurang 40 minit jugalah. Saya nak sekat pun, isu-isu yang begitu banyak yang tidak boleh dinafikan. Cuma saya nak peringat kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan tentang Standing Order pada 46(18), seorang Ahli tidak dibenar menyebut tentang Ahli lain dengan menyebut namanya. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Cukai.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Menteri Besar Negeri Terengganu, semua Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan agensi,
para pegawai dan kakitangan kerajaan, rakan-rakan pemerhati dan media serta pemerhati secara langsung, secara online, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pertama dan selamanya marilah kita sama-sama merapatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas segala nikmat kurniaannya kepada kita. Maka dapatlah kita bersama-sama berada dalam Dewan yang mulia ini bagi membahaskan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Patik dengan penuh takzim menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu atas Titah Ucapan perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri pada kali ini. Sesungguhnya Titah Tuanku amat bernas mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan Tuanku dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri terus terpelihara. Patik merafak sembah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan diatas perhatian Tuanku kepada segala urusan negeri dan kepentingan rakyat jelata. Saya amat tertarik dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar memberi tumpuan kepada penerokaan sumber baharu dan pelaburan bagi memastikan Terengganu terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Sejajar dengan itu, Pembangunan Projek Laluan Reli Pantai Timur (ECRL) serta pelaksanaan TOD di enam stesen utama ECRL merupakan pemangkin bagi penerokaan sumber baharu dan pelaburan. Pembinaan ECRL bukan sekadar projek infrastruktur pengangkutan, ia merupakan satu inisiatif strategik nasional yang bakal mengubah landskap sosial ekonomi negeri-negeri pantai timur, dengan jarak melebihi 600 kilometer yang menghubungkan pantai timur dengan pantai barat, projek ini akan menjadikan pergerakan barangan dan manusia lebih pantas, selamat dan kosnya efektif. Yang lebih penting, pembinaan ECRL membukakan potensi penerokaan sumber ekonomi baharu. Kawasan luar bandar dan pedalaman yang dahulunya kurang diberi perhatian, kini terbuka kepada pelaburan dan pembangunan ekonomi. Melalui laluan ECRL, kita dapat menggalakkan pembangunan industri tempatan termasuk pertanian moden, pelancongan eko, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta pembangunan kawasan industri berimpak tinggi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Bagi memastikan manfaat ECRL dimaksimumkan, enam stesen utama telah dikenal pasti untuk pembangunan TOD. TOD bukan hanya membina stesen kereta api, tetapi membangunkan kawasan sekelilingnya dengan pendekatan bersepadu yang
melibatkan kawasan kediaman, komersial, pejabat dan rekreasi. Ini akan membentuk hub pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan, moden dan inklusif.
Pembangunan ini diyakini mampu menarik pelaburan domestik dan asing secara signifikan. Dengan kemudahan infrastruktur kelas pertama, kedudukan geografi strategik dan sokongan dasar kerajaan, kawasan sekitar TOD akan menjadi tumpuan pelabur dalam sektor perumahan, logistik, peruncitan dan perkhidmatan. Ini selari dengan hasrat kita untuk mempelbagaikan ekonomi negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional. Yang paling penting, rakyat setempat tidak akan dipinggirkan. Malah, mereka akan menjadi penerima manfaat utama. Pembinaan dan operasi ECRL serta pembangunan TOD akan menjana ribuan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Infrastruktur yang dibangunkan akan mempertingkat akses kepada kemudahan pendidikan, kesihatan dan perumahan. Kita juga yakin, dengan adanya peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi setempat, penghijrahan belia ke bandar besar akan dapat dikurangkan kerana peluang kini tersedia di tanah kelahiran mereka sendiri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, menjawab soalan Yang Berhormat Kemasik. Cadangan dan membina dan menyiapkan sebuah masjid dan lain-lain kerja berkaitan di Kampung Baru Kertih, Kemaman, Terengganu yang memuatkan 2,000 jemaah. Pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan tawaran semula bagi menyiapkan kerja-kerja terbengkalai Masjid Kampung Baru Kertih, Kemaman sebagaimana keputusan Mesyuarat Projek Sakit Peringkat Negeri pada 8 September 2024 di mana projek diteruskan dengan mengguna pakai baki siling projek sedia ada dan skop kerja adalah sehingga mencapai kos RM4.5 juta sahaja berdasarkan kefungsian paling minima. Pihak JKR bersama UPEN dan Jabatan Agama telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi menyelaraskan skop kerja berdasarkan siling projek yang telah diluluskan. Untuk makluman jadual perancangan baru adalah seperti berikut:
1) Surat Niat : 13.04.2025 2) Pelawaan Tender : 24.04.2025 3) Tutup Tender : 25.05.2025 4) Surat SST : 24.06.2025
5) Tarikh Milik Tapak : 08.07.2025 6) Tarikh Siap : 30.12.2026 7) Tempoh Pembinaan : 18 Bulan
Insya-Allah. Masalah Sungai Paloh di Kertih Yang Bertakung Kerana Muka Kuala Keluar Tertutup. Bagi mengatasi masalah Sungai Paloh di Kertih, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu, akan meneliti pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala, termasuk kerja-kerja pengorekkan muara Sungai Paloh, Kemasik, sebagaimana yang telah dilaksanakan pada tahun 2024. Pelaksanaan ini sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan yang terjejas terutama semasa Monsun Timur Laut.
Menjawab soalan Yang Berhormat Bukit Tunggal. Isu rezab sungai yang telah diwartakan menyebabkan tahap ekonomi kepada rakyat untuk pembangunan. Kerajaan Negeri mengambil maklum berkenaan isu-isu yang timbul susulan daripada pewartaan rezab sungai di bawah Kanun Tanah Negara bertarikh 14 Oktober 2010. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersedia untuk meneliti semula pewartaan tersebut, khususnya bagi kes-kes tertentu yang melibatkan implikasi kepada pembangunan atau kesejahteraan rakyat. Kajian semula ini akan melibatkan semakan terhadap keluasan rezab sungai yang diwartakan, kesesuaian lokasi berdasarkan keadaan lapangan semasa, serta pertimbangan terhadap keperluan teknikal dan alam sekitar. Pendekatan secara kes ini demi kes akan diambil bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan awam, keselamatan, pemeliharaan alam sekitar dan hak-hak milik tanah individu. Kerajaan Negeri juga bekerjasama rapat dengan agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), serta Pihak Berkuasa Tempatan dalam menilai semula pewartaan yang sedia ada. Sebarang pindaan atau pengecualian akan dibuat secara berhemah, berlandaskan kepada dasar yang telus serta berpandukan justifikasi yang kukuh. Adakah perkembangan berkenaan cadangan projek pembesaran dan menaik taraf Jambatan Buluh Gading, Kuala Nerus? Cadangan pembesaran dan naiktaraf Jambatan Buluh Gading telah dimasukkan dalam skop kerja Projek Menaik taraf Jalan Dari Kubang Jela ke Bulatan Batu Enam (Fasa 2). Permohonan projek telah dibuat dalam Rancangan Malaysia ke-Dua Belas Rolling Plan 1 hingga 5 (RMK12RP1-5) yang lalu, namun setakat ini masih belum mendapat kelulusan. Cadangan pelaksanaan projek ini akan disenaraikan semula dalam cadangan projek pembangunan di bawah RMK13RP2.
Projek Menaik Taraf Jalan Jejambat Dan Jambatan Di Laluan FT003. Dari Kampung Pulau Rusa Ke Bulatan Batu Enam Ke Persimpangan Laluan FT065 Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu (Fasa 2 : Kg. Kubang Jela Ke Bulatan Batu Enam) Kos dengan kos Keseluruhan Projek ialah
RM480,979,095 termasuk kos pembinaan jambatan Buluh Gading adalah sebanyak RM39 juta. Ini merupakan kesinambungan daripada projek naik taraf jalan Persekutuan FT003 (Durian Burung ke Pulau Rusa) yang telah disiapkan pada tahun 2011. Pelaksanaan projek ini akan memberikan aliran trafik yang lebih lancar dan terkawal sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan kepada pengguna jalan. Skop kerja cadangan Projek Menaiktaraf Jalan Kubang Jela ke Bulatan Batu Enam:
1. Kerja-kerja menaiktaraf jalan sedia ada dua (2) Lorong kepada empat (4) Lorong sepanjang 4.0 kilometer.
2. Penggantian Jambatan Buluh Gading yang telah berusia melebihi 61 tahun.
Sekiranya permohonan projek ini mendapat kelulusan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang (RMK), maka pembinaan jambatan baharu akan dirancang dengan lebih teliti dan menyeluruh. Dalam proses rekabentuk, keperluan semua pihak yang…
Ada pencelahan daripada Yang Berhormat Manir, ada nak bagi ke?
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Manir juga perlu kepada jambatan baru yang bergabung dengan Wakaf Mempelam. Saya rasa dulu masuk doh dalam RMKe-13 tapi baru ini macam terlucut guane tak tahu. Boleh bagi penjelasan, kalau boleh minta balik lah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Manir, teruskan.
Terima kasih Manir.
Insya-Allah, baru ini Pusat minta projek tambahan dan kita dah hantar balik. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua menjawab soalan Batu Rakit mengenai pemecah ombak. Berdasarkan kepada penilaian outcome, projek ini dijangka memberi impak yang signifikan kepada komuniti setempat dengan beberapa hasil utama yang telah dikenal pasti. Pertama, ia akan memberi perlindungan kepada lebih 1,000 orang
penduduk yang melibatkan hampir 400 buah rumah serta 10 buah gerai dan wakaf daripada ancaman hakisan pantai dan pukulan ombak yang berterusan. Di samping itu, projek ini turut memberikan perlindungan kepada kira-kira 300 buah bot nelayan daripada kerosakan akibat ombak besar, sekali gus membantu menjamin kelangsungan ekonomi komuniti nelayan. Selain daripada itu, projek ini juga melibatkan perlindungan terhadap jalan raya sedia ada sepanjang lima kilometer yang menjadi laluan penting bagi penduduk setempat. Justeru memastikan akses perhubungan kekal selamat dan tidak terputus. Dan insya-Allah, JKR dan JPS akan memainkan peranan mengenai perkara ini.
Bilakah pembaikan jalan yang rosak akibat MTL di kawasan Kuala Nerus di Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot Batu Rakit, Seksyen 5.9 Hingga 6.5 Kuala Nerus, Terengganu telah mengalami kerosakan yang serius akibat hakisan pantai yang berpunca daripada MTL. Fenomena ini bukan sahaja menyebabkan runtuhan jalan dan tebing sepanjang laluan tersebut, malah turut menjejaskan kehidupan penduduk setempat dan keselamatan infrastruktur awam. Bagi menangani isu ini, kerja-kerja pembaikan runtuhan jalan dan tebing telah dimulakan pada 8 April 2025. Projek ini dijangka siap 7 Oktober 2025 dan merangkumi kerja awalan, penambakan, perlindungan tebing, turapan jalan, pemasangan perabot jalan dan pengalihan utiliti. Kos projek ini adalah sebanyak RM4.9 juta. Mengenai bantuan kepada mangsa bencana hakisan pantai, Bantuan Wang Ehsan untuk bencana adalah bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada mangsa seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan lain-lain. Tujuannya ialah untuk meringankan beban mangsa dalam menghadapi kerugian akibat bencana. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu akan mengangkat permohonan tersebut kepada NADMA bagi membantu mangsa hakisan pantai ini.
Apakah perancangan pihak Kerajaan untuk mengatasi masalah kekerapan paip bocor dan berlaku di sekitar Kampung Maras…
Yang Berhormat ada yang nak mencelah… Sila Batu rakit…
Nok tanya sikit jawapan tadi, projek telah bermula 8 April tapi di tapak dok nampok kesan pergerakan tu..
Sila Yang Berhormat.
Okey terima kasih, memang di tapak belum nampak kesan lagi kerana kerja-kerja awalan dibuat di luar di workshop siap sahaja semua pemasangan tersebut maka ia akan dipasang dengan seberapa segera, insya-Allah projek ini kita harap akan siap sebelum MPL pada tahun ini.
Mengenai kekerapan paip bocor di Kampung Maras dan Kampung Wakaf Catur punca berlakunya kekerapan kes paip pecah dan bocor di sekitar Kampung Maras dan Kampung Wakaf Catur adalah disebabkan oleh tekanan air yang tinggi dan juga keadaan paip jenis Asbestos Cement yang telah berusia dan uzur.
Isu ini dapat diselesaikan dengan perancangan pengaktifan tangki baru pada awal Mei 2025 dan pelaksanaan program pengurusan tekanan paip oleh pihak SATU. Bagi penyelesaian jangka panjang, jajaran paip yang kritikal ini akan dikenal pasti bagi tujuan penggantian paip baru, insya-Allah.
Penambahbaikan Kadar dan Kekerapan Bayaran Elaun Mesyuarat JPKK. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berada pada tahap yang terbaik. Salah satu aspek penting bagi menyokong peranan JPKK adalah dengan penyediaan elaun mesyuarat yang setimpal bagi mengiktiraf sumbangan dan penglibatan aktif mereka dalam urusan pembangunan setempat.
Cadangan terkini untuk menyelaraskan kadar dan kekerapan bayaran elaun mesyuarat JPKK agar selaras dengan kadar bayaran oleh pihak Persekutuan adalah langkah ke arah penyeragaman dan penambahbaikan sistem sedia ada. Dalam cadangan tersebut, dicadangkan agar kekerapan mesyuarat ditingkatkan daripada enam kali kepada dua belas kali setahun. Langkah ini bukan sahaja dapat memperkukuh keberkesanan pentadbiran di peringkat akar umbi, malah memastikan isu-isu rakyat dapat ditangani dengan lebih pantas dan efisien. Namun begitu, cadangan ini memerlukan komitmen kewangan yang lebih besar. Adalah dianggarkan tambahan peruntukan sebanyak RM5.38 juta diperlukan bagi menampung peningkatan kadar dan kekerapan bayaran elaun yang melibatkan sejumlah 1,055 JPKK di seluruh Negeri Terengganu. Jumlah ini bukanlah kecil dan memerlukan pertimbangan yang tinggi daripada Kerajaan Negeri. Sehubungan
dengan itu, Kerajaan Negeri menyambut usaha baik penambahbaikan ini dan menyokong prinsip asasnya. Namun demikian, sebarang perubahan yang melibatkan kewangan awam perlu dilakukan secara berhemah serta mengambil kira kemampuan kewangan semasa. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan meneliti semula cadangan yang dikemukakan dan akan mengkaji secara menyeluruh keperluan menaikkan kekerapan mesyuarat serta kesan kewangan yang bakal ditanggung.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mengenai menjawab soalan daripada Air Putih, dewan serbaguna. Kerajaan Negeri mengambil maklum dan menyokong permohonan berkenaan keperluan sebuah dewan serbaguna yang terletak di kawasan strategik dan tidak mudah dinaiki air untuk dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa berlakunya bencana banjir. Cadangan ini amat bertepatan memandangkan kawasan Air Putih, termasuk di sekitar Binjai merupakan antara kawasan yang terkesan setiap kali musim tengkujuh. Ketiadaan kemudahan pusat pemindahan yang bersesuaian dan selesa menimbulkan kesukaran kepada penduduk terutama golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan melalui Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Bencana Daerah akan meneliti dan menilai lokasi yang sesuai untuk pembinaan tersebut. Kajian ini akan mengambil kira aspek keselamatan daripada risiko banjir, accessibility penduduk setempat, kesediaan infrastruktur sokongan seperti elektrik, bekalan air dan laluan masuk. Sekiranya tapak yang bersesuaian dikenal pasti, cadangan pembinaan ini akan dikemukakan untuk pertimbangan dan perancangan pembangunan daerah dan memohon untuk peruntukan sewajarnya kepada Kementerian Kemajuan Desa Wilayah bagi permohonan ini.
Bekalan Elektrik di Mak Lagam Kerajaan Negeri melalui CSR TNB telah meluluskan RM311,800.00 bagi tujuan menampung kos penyambungan bekalan elektrik kepada Pusat Pengajian Islam Ribat Al Asyraf, Mukim Banggul, Kemaman. Selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri untuk membangunkan Air Putih, pihak TNB menyokong dan mengambil maklum untuk membina substation TNB di Jalan Mak Lagam di Simpang Binjai Air Putih bagi memberi impak kepada pembangunan kawasan tersebut. Pihak TNB dalam proses membuat pengesahan dan penilaian semula kos sebenar bagi perancangan projek berdasarkan tahun semasa.
Perbincangan lanjut dengan Pejabat Daerah Kemaman dan pegawai berkaitan akan diadakan mengenai perkara ini.
Jalan Alternatif Mak Lagam Cheneh melalui FT237 Seksyen 8 dan 9 jalan kampung Air Putih, Kampung Batu 14 dan juga jalan Air Putih, Pokok Sagu dan Tebak. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha memperkukuhkan pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat. Sejajar dengan matlamat itu, satu projek yang dikenalpasti berpotensi tinggi dalam meningkatkan kemudahan asas dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat akan dikemukakan untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan. Melalui JKR Negeri Terengganu, permohonan projek ini diangkat secara rasmi dalam Rancangan Malaysia yang Ke-13 Rolling Plan Kedua. Langkah ini selaras dengan keperluan untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dicadangkan mendapat peruntukan sewajarnya serta kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya.
Lambat lagi ke Yang Berhormat?
Ada empat helai lagi… boleh?
Tiga minit Yang Berhormat…
Tiga minit? insya-Allah. Bekalan air bersih di kampung Perasing, Jabur dan Bukit Berapit, Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Cherul, Kemaman dengan tambahan kapasiti pengeluaran sebanyak enam JLH telah diluluskan di bawah peruntukan Ke-12 Rolling Plan ke-5 di bawah Kementerian Desa dan Wilayah. Status semasa adalah proses pelantikan perunding. Skop kerja pemasangan paip baharu bersaiz 155mm jenis MuPVC serta kerja-kerja berkaitan di atas tanah RTB Bukit Berapit, Perasing juga telah diperuntukan di dalam projek ini.
Institusi Pendidikan Tinggi di Air Putih. Kerajaan Negeri mengambil maklum atas keperluan mewujudkan institusi pengajian tinggi di IPTA. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada rakyat, khususnya anak-anak Terengganu. Sehubungan dengan itu cadangan untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi di kawasan Air Putih adalah satu cadangan yang amat dialu-alukan dan sedang dipertimbangkan secara serius. Kerajaan
Negeri memohon kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan, akan meneliti keperluan, kesesuaian lokasi serta potensi bidang pengajian yang boleh ditawarkan agar selari dengan keperluan industri semasa dan pembangunan ekonomi negeri.
Pembesaran Klinik Felda Neram 1. Pembesaran Klinik Felda Neram 1 tidak dapat dilakukan kerana keluasan tanah sedia ada PITA mencukupi. Tanah di kawasan tersebut adalah milik FELDA. Cadangan pembinaan baru klinik di tapak milik klinik di kawasan Sungai Pergam, Hulu Jabor telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kemaman namun tapak tersebut tidak bersesuaian kerana terletak jauh daripada pusat komuniti setempat. Sehubungan dengan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dalam usaha mengenalpasti tanah baharu yang berkeluasan minima tiga ekar bagi tujuan pembinaan Klinik Kesihatan yang tersebut. Setelah tapak baru dikenalpasti Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman akan mengangkat permohonan pembinaan klinik baru ini melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk kelulusan pembinaan klinik kesihatan Malaysia.
Menjawab soalan Hulu Besut. Pada masa ini, mengenai projek jalan Keruak Gunung Bongsu, atau Keruak Tujuh Puteri. Pada masa ini kedua-dua projek tersebut tidak disenaraikan dalam senarai keutamaan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Walau bagaimanapun, Cadangan Projek Membina Jalan Baru daripada Felda Keruak, Besut ke Chucoh Puteri Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah oleh pihak JKR Negeri Terengganu di bawah RP1 RMK-13. Bagi Projek Cadangan Membina Jalan Baru daripada Pekan Keruak di Jalan Gunung Bongsu, Hulu Besut Terengganu pula, projek ini juga telah diangkat ke Kementerian Desa dan Wilayah oleh JKR Terengganu semasa Rolling Plan Ke-5 Rancangan Malaysia ke-12.
Menjawab soalan Kuala Berang untuk TOD Kuala Terengganu masih berada di peringkat perancangan awal. Berdasarkan maklumat umum terkini, TOD untuk stesen ECRL Kuala Terengganu telah dikenalpasti sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan untuk menggalakkan pembangunan berasaskan transit di sekitar stesen utama. Namun status terkini mungkin masih dalam peringkat perbincangan di antara PBT, MRL dan juga PLANMalaysia. Penyediaan kawasan khas atau pindaan rancangan tempatan, penilaian kesesuaian tanah, penyelarasan dan pemilikan tanah serta komuniti-komuniti setempat. Belum ada
pembangunan fizikal berskala besar yang dilaporkan bermula secara rasmi di kawasan stesen Terengganu, Kuala Terengganu. Kerajaan Negeri akan mengambil maklum dan komited dalam usaha pembangunan TOD di stesen ECRL Kuala Terengganu.
Pembinaan empangan baru penyelenggaraan sungai. Kerajaan Negeri mengambil maklum dan serius terhadap isu banjir yang menjejaskan kesejahteraan rakyat di kawasan terbabit. Berdasarkan kajian awal yang telah dijalankan oleh JPS, pembinaan empangan merupakan antara langkah jangka panjang yang berkesan untuk mengawal aliran air semasa musim hujan lebat serta mengurangkan impak banjir. Namun begitu sebelum sebarang pembinaan empangan dapat dilaksanakan beberapa aspek penting perlu diberi perhatian. Yang pertama ialah kajian alam sekitar bagi memastikan empangan yang dicadangkan tidak memberi kesan negatif kepada ekosistem serta kehidupan setempat.
Yang kedua peruntukan peruntukan kewangan. Pembinaan empangan memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan dana serta sokongan teknikal.
Yang ketiga libat urus dengan komuniti. Kerajaan akan memastikan pandangan penduduk setempat diambil kira terutama yang terlibat secara langsung dengan kawasan cadangan setempat. Sebagai langkah awal, JPS telah memohon peruntukan bagi menjalankan kajian terperinci, reka bentuk terperinci dan kelayakan ekonomi untuk projek ini. Selain itu langkah-langkah jangka pendek seperti mendalamkan sungai, pembinaan tebatan banjir dan pengukuhan tebing juga sedang giat dilaksanakan di kawasan sungai Telemung. Kerajaan Negeri komited untuk terus menangani isu banjir secara holistik dan berterusan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Mengenai pembinaan jalan sementara FT036 Seksyen 89 di Padang Arin. Kerajaan Negeri melalui JKR Negeri telah mengangkat permohonan mewujudkan jalan sementara bagi menghubungkan Kelantan dan Terengganu dengan kos hampir RM10 juta. Namun begitu kos ini dilihat tidak efisien oleh Kementerian Kerja Raya yang menyarankan agar pembaikan kekal dilakukan dengan kos sebanyak RM36 juta.
Yang kedua peruntukan kewangan.
Pembinaan empangan memerlukan
Menjawab soalan Yang Berhormat Manir, Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman Terengganu sedang giat dilaksanakan. Projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo pelabuhan daripada 7 tan metrik setahun ke 33 juta tan metrik setahun. Status terkini pembesaran pelabuhan Kemaman ialah dalam peringkat penyediaan laporan EIA. Sekian, itulah saja jawaban-jawaban yang dapat saya kemukakan. Yang tidak berpuas hati sila datang ke bilik saya.
Dato’ Yang di-Pertua nak tanya sikit.
Tamat dah Yang Berhormat. Terima Kasih Yang Berhormat Chukai. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Ajil.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sahabat-sahabat, rakan-rakan Yang Berhormat, pegawai-pegawai Kerajaan dan semua yang hadir. Pertama sekali, mari lah sama-sama kita panjatkan rasa syukur dan bertuah diberi kesempatan di bulan Syawal ini untuk berbahas. Mudah-mudahan perbahasan ini akan diberi barakah oleh Allah Ta’ala dan dalam kesempatan Ucapan Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha MuliaTuanku Sultan yang terus menjadi payung berdaulat memayungi rakyat dan negeri ini. Saya sangat menjunjung kasih kepada Tuanku dan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga kepemimpinan Kerajaan Negeri, ADUN-ADUN dan Ahli-ahli Parlimen. Terima kasih juga kepada kakitangan pelaksana dasar kerajaan bermula daripada Dato’ SUK, pegawai-pegawai tadbir kerajaan, kumpulan sokongan, kakitangan-kakitangan di Pusat Khidmat Masyarakat, JPKK dan rakyat jelata yang terus menyokong dan mendukung pentadbiran Kerajaan Negeri dan kita melihat sekarang ini masih lagi mood rakyat untuk terus menyokong Kerajaan PAS di Terengganu ini masih lagi segar dan dapat diperkasakan dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, agenda-agenda kebajikan yang telah dirasai oleh rakyat kita seperti pemberian lesen motosikal percuma, pencen rakyat kepada mereka yang layak, bayaran wad kelas tiga di hospital kerajaan, bantuan-bantuan
kenduri melalui walimatul urus perdana, bantuan kecemasan dan bencana serta bantuan kepada pesakit-pesakit kronik melalui Tabung Darul Iman merupakan di antara agenda-agenda kebajikan yang dapat dirasai oleh rakyat. Rakyat bukan sekadar melihat tetapi mereka dapat merasai nikmat hasil daripada gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dan kumpulan-kumpulan pentadbir Kerajaan yang cemerlang sehingga meningkatkan prestasi di dalam pilihan raya yang dahulu dan barangkali oleh kerana prestasi yang cemerlang ini lah kita disusahkan oleh pihak Kerajaan Federal untuk tidak menyalurkan bajet kewangan yang cukup dan dalam keadaan yang selesa. Walau Bagaimanapun usaha Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat untuk sentiasa berselari dalam agenda pentadbiran ini insya-Allah akan dapat direalisasikan dari masa ke semasa dengan pertolongan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan agenda-agenda kebajikan yang merupakan di antara mercu tanda ataupun signature kepada Portfolio Kebajikan dan yang dapat dirasai oleh rakyat bawahan akan terus dirancang dan akan dilaksanakan insya-Allah meskipun dalam keadaan tekanan kewangan yang dihadapi. Alhamdulillah kita masih lagi dapat menjaga dan memberi keutamaan kebajikan kepada golongan-golongan terutamanya golongan OKU, anak-anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin yang tidak diabaikan dan diteruskan melalui agensi-agensi dan jabatan-jabatan di bawah portfolio ini.
Dalam kesempatan ini saya merakam penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada agensi di peringkat Federal dan juga Negeri yang terus memberi komitmen yang padu dalam membantu dan menjayakan agenda-agenda yang dirancangkan di bawah portfolio saya, Portfolio Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan juga Perpaduan Nasional. Terima kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat, terima kasih Polis Diraja Malaysia, terima kasih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terima kasih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terima kasih Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), terima kasih LPPKN, terima kasih JPW, terima kasih Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, terima kasih USWA, Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), terima kasih juga Sekretariat Tabung Darul Iman yang terus memberi komitmen yang padu dalam merealisasikan hasrat rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa. Dari sudut Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kerajaan telah menubuhkan USWA antara agensi kerajaan untuk membantu dalam pembangunan kewanitaan untuk memperkukuhkan agenda memperkasakan wanita melalui pendidikan, latihan kemahiran dan peluang peningkatan kerjaya di pelbagai peringkat.
Selain itu, agenda pemantapan pembangunan wanita juga dilaksanakan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga dalam Program Jaya Diri di bawah YPK dan kesedaran kita bahawa wanita adalah di antara tonggak dalam pembangunan negeri dan juga negara ini maka sudah pastilah kerjasama diantara Jabatan Pembangunan Wanita dan juga agensi-agensi yang melaksanakan pembangunan tanpa mengira jantina dan gender maka akan diperkasakan dari semasa ke semasa
Yang Berhormat
untuk membantu
Yang Berhormat
rakyat…
Yang Berhormat Ajil, ada percelahan daripada
Wakil Permaisuri ada pertanyaan sedikit
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Di Negeri Terengganu, yang saya lihat ramai juga saudara-saudara baru yang muslimah yang aktif kita tengok di pusat-pusat PERKIM dan sebagainya. Ada tak dia dimasukkan bawah portfolio Yang Berhormat Wanita untuk membantu membimbing perkembangan ekonomi mereka sebagai saudara baharu, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Permaisuri. PERKIM kalau tidak silap saya di bawah Dakwah. Walau bagaimanapun, kita tidak meminggirkan muslimat ataupun wanita di dalam PERKIM dan saya lupa tarikh dalam awal Mei ini, saya ada program bersama dengan PERKIM Terengganu insya-Allah, terima kasih Yang Berhormat Permaisuri.
Dari sudut Perpaduan, Negeri Terengganu sebagaimana yang kita tahu dengan kapasiti penduduk kita dengan kependudukan Melayu sebanyak 94 peratus lebih kurang, kita tidak menjadi, tidak mempunyai, tidak berdepan dengan isu perpaduan yang boleh mengancam keselamatan negeri dan Negeri Terengganu di antara negeri yang menjadi model perpaduan di Negeri Terengganu dan melalui portfolio saya, kita telah memperkasakan gerak kerja perpaduan ini yang mana bangsa-bangsa selain daripada Melayu, kita jemput turun untuk bersama dalam program-program kebajikan. Bukan semata-mata program Perayaan Tahun Baru Cina ataupun Deepavali sahaja kita bersama, bahkan kita telah merealisasikan asas perpaduan yang indah apabila bangsa Melayu, India, dan Cina turun ke lapangan, turun ke sasaran untuk menyantuni pelbagai bangsa dalam aspek kebajikan. Ini merupakan di antara satu perkembangan yang menarik yang mana kita memperkasakan agenda perpaduan ini, bukan pada musim-musim perayaan sahaja.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan ahli warga Dewan semua, saya sedikit sahaja berucap pada tengahari ini mungkin mengantuk, lapar perut dan satu laginya tidak ada isu yang dibangkitkan oleh sahabat-sahabat. Saya rasa sahabat-sahabat semua berpuas hati dengan portfolio saya. Terima kasih
Terima kasih Yang Berhormat Ajil.
Terima kasih pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan para pemerhati yang saya kasihi sekalian, kita tangguh sementara Dewan ini.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ini akan disambung semula pada pukul 2.30 petang. Kita tangguh dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.55 TENGAH HARI
PUKUL 2:33 PETANG
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam sesi Penggulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja. Saya dengan ini mempersilakan Wakil Yang Berhormat Alur Limbat untuk membuat penggulungan, dipersilakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan para pemerhati sekalian. Tidak lupa kepada wartawan yang bertugas pada hari ini. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa pekerjaan kamu dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT yang maha Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata lalu ia memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Saya mengangkat kalam Allah Subhanahu Wa Ta'ala ini sebagai pembuka bicara kerana ayat ini sangat besar maknanya bagi kita yang memikul amanah kepimpinan dan dasar awam. Ia menyeru kita untuk beramal dan bekerja keras kerana segala usaha kita akan diperhatikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan oleh rakyat yang beriman. Maka dalam konteks Portfolio Keusahawanan ini, segala dasar, program dan peruntukan bukan hanya tanggungjawab pentadbiran semata-mata tetapi juga ibadah yang akan dipertanggungjawabkan. Dengan penuh rasa hormat, saya merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu atas Titah Ucapan Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ini. Titah Tuanku sangat bermakna
memperlihatkan keprihatinan serta kebijaksanaan Tuanku dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. Patik bersama seluruh Ahli Dewan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Tuanku terhadap segala urusan pentadbiran negeri dan kepentingan rakyat. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Sidang ini.
Alhamdulillah, saya mengucapkan juga terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat kerana sangat proaktif yang telah mengemukakan 188 soalan dan dibahaskan dalam masa tiga hari dan banyak soalan-soalan yang tak sempat untuk dikemukakan pada hari ini kerana masa yang terhad termasuklah daripada saya hari ini dan juga semalam, soalan saya tak sempat untuk disempurnakan dalam Dewan ini dan perbahasan yang dikemukakan juga selain daripada 188 soalan yang dikemukakan oleh pihak BBC sangat-sangat bertenaga pada kali ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan, perubahan landskap ekonomi pasca pandemik memerlukan kita untuk beralih daripada bergantung semata-mata kepada bantuan tunai kepada pemberdayaan ekonomi melalui keusahawanan. Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang memperkenan agar negeri memberi tumpuan kepada tiga sektor. Yang pertama, pengukuhan pertanian dan industri asas tani. Yang kedua, penerokaan sumber baharu dan pelaburan dan yang ketiga kelestarian pelancongan. Maka keusahawanan adalah fasa seterusnya sangat signifikan, yang mana dengan pengukuhan pertanian dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengukuhan pelancongan yang semakin hebat di Negeri Terengganu, dapat melahirkan usahawan pelancongan yang menjadikan sumber ekonomi baru kepada rakyat Negeri Terengganu.
Melalui pendekatan keusahawanan, penekanan dapat diberikan kepada penggunaan teknologi moden, inovasi produk, pembangunan rantaian nilai serta pemantapan strategi pemasaran. Usaha ini perlu disokong dengan pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi khususnya melibatkan penglibatan generasi muda serta golongan B40 agar mereka turut berperanan dalam ekosistem ekonomi baharu ini. Yang pertama, peningkatan pendapatan rakyat Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu turut memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan pendapatan rakyat Terengganu menerusi beberapa program yang telah dan akan dilaksanakan.
Antara program yang boleh menambahkan pendapatan rakyat di Negeri Terengganu adalah menerusi program sama ada yang berbentuk kewangan ataupun aktiviti keusahawanan. Bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan seterusnya menambahkan pendapatan mereka, kerajaan melalui YPU telah menyalurkan kemudahan pembiayaan kepada usahawan sama ada mereka yang telah lama berkecimpung atau yang baharu dalam dunia keusahawanan menerusi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera ataupun ringkasnya TUGAS. Pinjaman yang tidak mempunyai apa-apa faedah, NO RIBA telah berjaya menyalurkan dengan jumlah melebihi RM2 juta bagi tahun 2024. Sehingga sekarang seramai lebih daripada 5,000 usahawan telah mendapat kemudahan pembiayaan tersebut sejak ianya dilaksanakan pada tahun 2019. Selain daripada pembiayaan kewangan, YPU telah turut membantu golongan usahawan menerusi aktiviti program yang berbentuk ilmiah, promosi dan juga pembangunan produk yang mana program tersebut telah banyak membantu usahawan Terengganu dan juga rakyat Terengganu, membantu usahawan adalah dengan menambahkan pendapatan mereka. Membantu rakyat pula ialah dengan mencipta peluang-peluang pekerjaan yang baru bagi membantu perniagaan mereka. Saya ingin menambah sedikit jawapan daripada soalan Yang Berhormat Wakil Buluh Gading, berkenaan dengan langkah dengan usaha Kerajaan Negeri dalam membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi menjana pendapatan mereka.
Antara langkah yang telah dibuat, yang pertama menyediakan Skim Kursus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu Skim Dana Prihatin Terengganu Di Hati. Skim ini menyediakan geran maksimum sehingga RM5,000.00 dengan konsep di mana 80 peratus dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan 20 peratus oleh usahawan. Dana ini bertujuan untuk pembelian mesin dan peralatan bagi membantu usahawan OKU memperkembangkan perniagaan mereka. YPU juga menyediakan pelbagai skim pembiayaan perniagaan untuk usahawan termasuklah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Antaranya, saya ringkaskan skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T). Yang kedua, Tabung Siti Khadijah (TSK). Yang ketiga, Skim Pembiayaan Perantau. Yang keempat, Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT). Yang kelima, Skim Pembiayaan Mobile Truck (SPMT). Yang keenam, Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu (T’CAP). Sehingga kini YPU melalui Skim Dana Prihatin Terengganu Di Hati telah membantu seramai
103 orang usahawan dengan peruntukan yang telah dikeluarkan sebanyak RM444,095.72.
Bagi golongan muda pula, untuk menambahkan pendapatan mereka atau mencipta peluang ekonomi melalui sektor pertanian serta sektor pelancongan, pelbagai program telah dilaksanakan oleh agensi-agensi keusahawanan bagi membentuk golongan muda sebagai seorang usahawan. Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sendiri telah melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera Terengganu yang setakat ini 70 peratus telah menunjukkan kejayaannya dengan penglibatan seramai 200 orang usahawan muda kini telah berjaya mencipta peluang ekonomi kepada golongan tersebut di samping membantu mengatasi masalah pengangguran. SME Corp dengan Program Tunas Usahawan Belia (TUBE), MARA dengan Program PUTRA, Agrobank dengan Program Agrotani bagi usahawan sektor pertanian dan pelbagai lagi program bagi usahawan muda telah turut membantu golongan muda mencipta pendapatan serta seterusnya memacu ekonomi Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menyentuh perkara yang berkait dengan Pasar Payang sebagai Pusat Pemasaran dan Pusat Pemasaran produk IKS. Pasar Payang baru alhamdulillah yang telah menjadi ikonik yang terbaru Negeri Terengganu yang menjadi tumpuan pelancong datang ke Terengganu yang telah beroperasi pada akhir tahun 2024 merupakan satu destinasi yang mampu menarik pelancong untuk membeli pelbagai produk yang berasaskan Negeri Terengganu. Ianya merupakan satu pusat sehenti bagi mendapatkan produk yang dihasilkan oleh usahawan Terengganu. Ianya meliputi produk batik, songket, kraftangan, makanan tradisional, IKS dan pelbagai produk lagi. Oleh yang demikian, selaku agensi yang bertanggungjawab membantu usahawan Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) adalah sewajarnya memainkan peranan penting dalam menjadikan Pasar Payang sebagai hab pemasaran sama ada secara terus ataupun menerusi kaedah masa kini iaitu secara digital. Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan semua yang hadir, YPU telah dari awalnya telah mengambil inisiatif bagi menjadikan Pasar Payang sebagai hab pemasaran, produk-produk Terengganu dengan mengadakan perbincangan dengan pihak MBKT bagi mengadakan secara berkala program promosi produk IKS Terengganu yang melibatkan pelbagai produk oleh usahawan IKS Terengganu dan insya-Allah akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, cadangan penambahbaikkan usahawanan Terengganu. Urusetia Pembangunan Usahawanan Terengganu atau pun ringkasnya PEUTER adalah merupakan gabungan 40 agensi yang terlibat dalam program keusahawanan dan berperanan bagi menyelaras segala aktiviti keusahawanan di Negeri Terengganu. Mesyuarat yang dilaksanakan sebanyak empat kali setahun bagi tujuan menyemak, menilai dan juga memperbaiki apa juga aktiviti keusahawanan yang telah ataupun akan dilaksanakan oleh agensi. Menerusi PEUTER juga segala penambahbaikan program akan dibincang dalam mesyuarat tersebut. Maka segala aktiviti dan program yang dilaksanakan adalah lebih tertumpu kepada keberkesanan dan faedah kepada usahawan. Ianya juga bagi mengelak program sama yang bertindan tetapi dilaksanakan oleh lain-lain agensi. Kejayaan program PEUTER boleh dilihat menerusi laporan pencapaian program yang akan dibentang pada setiap tahun. Maka disinilah akan dilaksanakan pembaikan program yang dinilai sebagai gagal.
Kempen Buy Muslim First (BMF). Buy muslim product atau pun belilah produk muslim adalah satu kempen yang amat digalakkan. Kempen yang telah lama dilaksanakan bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di seluruh Malaysia yang disasarkan kepada golongan muslim. Di Terengganu kempen ini telah lama dilaksanakan dengan mengadakan program-program promosi produk yang dihasilkan oleh usahawan yang secara amnya diketahui semuanya adalah produk usahawan muslim. Namun bilangan produk yang utama seperti ubat gigi dan beberapa keperluan yang tidak dihasilkan oleh usahawan IKS Terengganu. Namun beberapa produk lain seperti pembuatan mee kuning, mee wantan, air berkarbonat, mineral water, tauhu, tempe, fish cake (bebola ikan) serta beberapa produk lain telah mampu mengambil alih pasaran dan diberi pilihan utama oleh pengguna muslim di Terengganu dan kilangnya ada di Terengganu. Untuk makluman produk my chocolate juga turut dipasarkan oleh usahawan Terengganu dengan menjadi pengedar utama produk tersebut. Kejayaan kempen ini dapat dilihat dengan penambahan pengeluaran produk yang dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar tersebut. Insya-Allah kempen BMF diadakan secara berterusan.
Akhirnya saya ingin menyentuh dengan peningkatan sijil halal. Halal adalah merupakan satu kempen yang telah dilaksanakan secara berterusan oleh Kerajaan Malaysia. Ini adalah kerana nilai pasaran bagi produk halal adalah luar biasa dengan nilai dagangan setahun adalah mencecah berbillion ringgit setahun. Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan juga Yayasan
Pembangunan Usahawan Terengganu serta Jabatan Hal Agama Terengganu telah diberi peranan bagi meningkatkan jumlah pengusaha halal Negeri Terengganu melalui penubuhan Majlis Halal Terengganu. Peranan Majlis Halal Terengganu adalah untuk menyelaras perancangan dan pelaksanaan dasar halal negeri melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. Sehingga januari 2025 hanya seramai 317 pengusaha yang mempunyai sijil halal di mana enam daripadanya daripada senarai tersebut adalah pusat penyembelihan daripada lebih daripada 9000 yang mempunyai sijil halal di seluruh negara. Usaha ini insya-Allah akan diteruskan dengan meletakkan target yang tinggi pada tahun ini. Tanggung jawab meningkatkan bilangan pengusaha halal akan dilaksanakan dari semasa ke semasa melalui Majlis Halal Terengganu dengan mengadakan program yang boleh meningkatkan pengusaha halal Terengganu. Antara program yang akan dilaksanakan secara bersiri adalah Bengkel Kesedaran Halal dan juga Seminar Kesedaran Halal Terengganu. Selain daripada itu juga YPU juga akan menjadi pusat sehenti bagi pusat rujukan halal menerusi pegawai-pegawai yang berperanan bagi menjadi penasihat dan rujukan bagi mendapat pensijilan halal. Selain daripada itu juga kerjasama yang berterusan akan diadakan dengan Halal Development Corporation (HDC) pusat bagi menggiatkan lagi kesedaran dan kepentingan bagi mendapat pensijilan halal. Saya percaya dengan usaha ini akan dapat meningkatkan bilangan yang mendapat pensijilan halal insya-Allah. Saya yakin dengan kerjasama semua pihak pentadbiran negeri, agensi pelaksana, NGO, usahawan dan rakyat, Terengganu mampu menjadi negeri peneraju pembangunan ekonomi Islam berasaskan keusahawanan produk halal dan IKS. Marilah kita terus melangkah ke hadapan dengan tekad, iltizam dan tawakal kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala demi kesejahteraan dan kemakmuran kita. Sekian sahaja penggulungan saya.
Alur Limbat mohon menyokong Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Terima kasih wakil Alur Limbat.
Seterusnya saya mempersilakan Wakil Tepuh.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua,
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, semua Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, rakan-rakan pemerhati, rakan-rakan media seterusnya pada semua hadirin-hadirat yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah sama-sama kita merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala yang telah memberikan kepada kita keizinan untuk kita berhimpun pada kali ini bagi memberikan kepentingan rakyat seluruh Negeri Terengganu melalui Persidangan Kali Pertama Tahun 2025. Peluang pada petang ini saya mengucapkan ribuan terima kasih pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan kelmarin dan juga pada hari ini. Sebahagiannya ada yang menyentuh portfolio saya secara langsung mahupun tidak langsung. Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam memartabatkan pembangunan belia, sukan dan juga NGO. Menyedari peranan penting golongan belia sebagai pemangkin masa depan negara serta potensi sukan dan NGO sebagai pemacu perpaduan serta pembangunan sosial. Satu pelan strategik yang menyeluruh dan berpandangan jauh telah dibangunkan. Pelan Strategik Hala Tuju Portfolio Pembangunan Belia dan Sukan NGO Negeri Terengganu 2025-2030 merupakan kesinambungan daripada Pelan Hala Tuju Portfolio Pembangunan Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu 2021 hingga 2025. Kesinambungan ini penting bagi memastikan pengukuhan pencapaian terdahulu serta penambahbaikkan berasaskan penilaian dan maklum balas pelan sebelum ini. Pelan ini merangkumi pembangunan Belia Rabbani, penerusan kecemerlangan sukan dan pemerkasaan NGO selaras dengan teras strategik enam Pelan Induk Terengganu Sejahtera PITAS 2030. Saya sengaja menyebut berkenaan dengan PITAS 2030 ini supaya ianya mendapat perhatian daripada semua pegawai-pegawai kerajaan supaya agenda pembangunan perancangan strategik yang disusun secara bersama ini tidak diabaikan langsung oleh semua penggerak-penggerak kerajaan. Pelan ini merangkumi 5 objektif, 25 strategi dan 103 program yang telah dirancang. Beberapa siri bengkel telah selesai diadakan untuk memastikan pelan ini dapat dicapai sepenuhnya dengan visi menjadikan anak Terengganu sebagai aset terunggul negara.
Yang Berhormat Timbalan Speaker, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ada beberapa perkara yang telah disentuh oleh Ahli Yang Berhormat ketika membuat perbahasan kelmarin. Antaranya apa yang disebut oleh Kemasik berkait Stadium Hoki Kuala Terengganu yang berada di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Untuk maklumat Yang Berhormat, bagi urusan baik pulih fasa yang pertama, MBKT telah mendapat kelulusan khas daripada Perbendaharaan Negeri Terengganu pada 26 Februari 2025, bagi penyaluran peruntukan berjumlah RM500,000.00 untuk tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki Kuala Terengganu dan kerja-kerja berkaitan. Surat setuju terima akan dikeluarkan pada pertengahan Mei 2025 nanti insya-Allah. Buat masa ini pihak Kerajaan Negeri belum mempunyai apa-apa perancangan untuk membina stadium hoki kedua di Kompleks Sukan Gong Badak. Walaupun begitu, padang latihan untuk stadium hoki ini kita memberikan perhatian yang serius dan telah pun berusaha untuk mengangkat bagi melakukan kerja-kerja baik pulih di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Selain daripada kerja-kerja yang saya maksudkan di bawah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang dinyatakan sebentar takdi, kita juga telah mengangkat perkara ini kepada pihak Kementerian Belia Sukan, lawatan pegawai KBS bagi memantau lokasi stadium hoki ini telah pun dibuat pada 25 Mac 2025. Untuk meneliti perkara-perkara yang perlu dalam urusan baik pulih pada masa yang akan datang insya-Allah. Dalam pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di Kemaman tempoh hari, perkara ini juga diangkat antara projek keutamaan yang insya-allah akan mendapat perhatian daripada pihak Kerajaan Persekutuan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tepuh, cuma untuk rekod selain daripada bumbung yang telah kita terima peruntukan mohon juga diberi perhatian kepada lampu limpah dan juga turf tersebut la sebab sehingga sekarang perlawanan yang diadakan di Terengganu semua kena dimulakan awal kerana masalah lampu limpah yang tidak berfungsi sepenuhnya. Jadi kita tak boleh buat pertandingan lewat pada pukul 6, 6.30 menyebabkan banyak program-program yang sepatutnya kita boleh laksanakan ataupun dijalankan tidak mampu dilaksanakan. Untuk perhatian Yang Berhormat Tepuh.
Terima kasih Yang Berhormat Kemasik. Perkara tersebut berada dalam perhatian dan itulah yang saya maksudkan dalam pertemuan bersama dengan pihak KBS yang telahpun kita sampaikan sebelum daripada itu. Berbalik kepada insentif untuk pasukan Terengganu Hoki Team. Pertamanya, pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan pada hari ni untuk mengucapkan ucapan tahniah kepada Persatuan Hoki Terengganu yang telah membawa pasukan memenangi treble pada musim ini
dengan memenangi Liga Hoki Malaysia (MSL), Piala Sumbangsih dan Piala TNB Premier 2025. Tahniah kepada Pasukan Hoki Terengganu.
Kerajaan Negeri juga telah menerima cadangan insentif daripada pihak Persatuan Hoki Terengganu, insya-Allah saya tidak mengambil peluang ini untuk mengumumkan.
Insha-Allah Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan permohonan yang telah dibuat oleh Persatuan Hoki Terengganu. Kertas cadangan ini akan diangkat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat insya-Allah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Izinkan saya untuk menjawab beberapa soalan lisan yang tak sempat dijawab pada hari ini dan juga kelmarin. Agak menunggu-nunggu tapi tak dapat peluang untuk menjawab. Hampir-hampir pada pagi tadi daripada Kuala Besut tapi itu pun tergelincir untuk mendapatkan peluang menjawab persoalan.
Yang Berhormat Ladang menyebut berkenaan dengan program sukan komuniti yang dirancang oleh pihak Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat di kalangan rakyat Terengganu. Antara perancangan kita, yang pertama adalah, Terengganu City Night Games, melalui enam siri penganjuran yang melibatkan sembilan sukan setakat ini. Siri pertama telah pun selesai diadakan pada bulan Februari yang lepas dan insya-Allah siri kedua akan berada pada bulan ini.
Yang kedua Sukan Terengganu SUTERA, temasya sukan antara daerah, temasya ini dijadual akan diadakan pada bulan September nanti. Fit Is Sunnah, melibatkan aktiviti seperti Fit Run, Fit Walk, Fit Ride dan Fit Hype. Program sukan untuk semua di peringkat DUN, sukan berkuda dan memanah. Ini semua diantara perancangan yang telah pun disusun oleh kita pada tahun 2025. Untuk makluman Yang Berhormat Ladang juga berkait program pembangunan atlet yang dilaksanakan di bawah perancangan Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri adalah Program Tunas Harapan. Program ini dilaksanakan menggunakan peruntukan di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu. Program yang melibatkan atlet berumur 9 hingga 12 tahun dan terdapat 6 jenis sukan yang dilaksanakan iaitu angkat berat, pencak silat, petanque, olahraga, lawn balls dan gimnastik. Dua daerah yang terlibat iaitu Marang bagi sukan gimnastik dan Kuala Nerus bagi sukan pencak silat, petanque, olahraga lawn balls dan angkat berat.
Yang kedua program bakat, program ini dilaksanakan di bawah Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan bantuan dalam bentuk geran yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara. Ia melibatkan atlet berumur 13 hingga 17 tahun. Ada sebanyak 18 jenis sukan yang saya rasa tidak perlu untuk saya perincikan dalam ruang ini.
Yang ketiga program pelapis, program ini dilaksanakan di bawah negeri menggunakan peruntukan bantuan dalam bentuk geran yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia. Melibatkan atlet berumur 18 hingga 21 tahun, sebanyak 18 jenis sukan yang terlibat dan 19 pusat latihan negeri ditubuhkan bagi program pelapis negeri melibatkan Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Dungun, Marang dan Besut.
Minit 0:32:32 Saya juga suka untuk menyentuh soalan yang dikemukakan oleh Kuala Besut berkenaan dengan isu gejala sosial di kalangan anak-anak muda. Untuk maklumat Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri sangat serius untuk meneliti perkara ini dan berusaha membuat pelbagai pendekatan. Antara perancangan utama adalah yang pertama program LEGASI (Lepak, Cergas dan Santai). Program ini merupakan pendekatan santai yang dirangka khas untuk menarik penyertaan golongan belia merangkumi aktiviti luar seperti mendaki bukit, bedah buku, sesi pekongsian ilmu bersama pendakwah selebriti. Pendekatan ini bukan sahaja membuka ruang untuk hiburan sihat tetapi juga menyuntik nilai-nilai keagamaan dan moral kepada peserta. Yang kedua program sukan belia, antara program yang dianjurkan termasuk Liga Penalti, Futsal Sahur, Fit Is Sunnah. Tempoh hari semasa kita menganjurkan Futsal Sahur, kita juga membuat kuiz berkenaan dengan Ramadhan dan juga membuka klinik bacaan Al-Fatihah untuk peserta-peserta futsal yang menghadiri pada waktu itu. Inisiatif ini menggabungkan elemen kecerdasan fizikal dengan nilai keagamaan dan kebersamaan sekali gus membina jati diri belia melalui aktiviti yang sihat dan positif.
Yang ketiga program bersih pantai yang melibatkan kesukarelawanan. Program ini melibatkan penyertaan pelajar sekolah, belia Terengganu dan mahasiswa. Dalam aktiviti gotong royong membersihkan kawasan pantai selain mendidik mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan aktiviti semangat kesukarelawanan serta kerjasama antara generasi muda.
Ini di antara beberapa perkara yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri dan alhamdulillah kita akan terus berusaha di dalam memastikan agenda-
agenda pemerkasaan dan pembangunan belia ini akan terus diperkasakan. Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh berkaitan Portfolio saya, yang tidak menyentuh pun saya juga mengucapkan terima kasih kerana kita telah memberikan suatu pandangan yang baik, yang tajam dan kritikal terhadap Kerajaan Negeri bagi melihat kepentingan seluruh rakyat di Negeri Terengganu dari Kemaman sehingga ke Besut.
Saya mengharapkan penjelasan yang berkait dengan Portfolio ini dapat merungkai persoalan yang timbul. Dengan penuh takzim, saya menjunjung kasih atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu sempena perasmian pembukaan Sidang Undangan Negeri pada kali ini. Patik serta seluruh Ahli Dewan merafak sembah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas perhatian Tuanku kepada segala urusan negeri demi kepentingan rakyat. Tepoh mohon menyokong, sekian.
Terima kasih Wakil Tepoh walaupun masa ada satu minit lagi telah digunakan dengan sebaik mungkin. Yang seterusnya, saya persilakan Wakil Wakaf Mempelam untuk membuat penggulungan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, seterusnya Ketua-Ketua Jabatan, Agensi Pemerhati serta seluruh yang hadir di Dewan walaupun secara maya.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua atas segala ruang dan peluang yang telah diberikan kepada saya untuk turut sama menyampaikan penggulungan dalam sesi penggulungan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang bersidang pada 14 hingga 17 April 2025. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang telah pun mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu. Pandangan, cadangan serta teguran yang dikemukakan amatlah bernilai dan akan diambil perhatian yang sewajarnya. Di kesempatan ini juga, izinkan saya merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya pada Ahli-ahli Dewan dan para penjawat awam yang terus komited menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. Maaf Zahir dan Batin.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, melalui Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, telah pun memberi tumpuan pada tiga bidang utama sebagaimana yang berikut ia itulah pengukuhan, pertanian dan industri asas tani, penerokaan sumber baharu dan pelaburan serta kelestarian pelancongan. Dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut, pihak PBT memainkan peranan yang penting sebagai pelaksana dasar dan pemudah cara di peringkat akar umbi. Bagi bidang pengukuhan, pertanian dan industri asas tani, Pihak PBT juga berperanan dalam membantu dan mempermudah segala proses kelulusan pelan pembangunan berkaitan industri asas tani. Dalam bidang penerokaan sumber baharu dan pelaburan, PBT juga berperanan mewujudkan persekitaran yang kondusif dan mesra pelabur. Ini termasuklah mempercepatkan proses lesen yang rumit serta memastikan kawasan komersial dan industri sentiasa terurus dan selamat. Sementara itu, dalam bidang kelestarian pelancongan, Pihak Berkuasa Tempatan juga bertanggungjawab di dalam memastikan kebersihan dan keindahan kawasan pelancongan sentiasa terpelihara. Ini termasuklah penyelenggaraan kawasan awam seperti pantai, taman, dan tapak warisan budaya. PBT juga menyediakan kemudahan asas yang lengkap dan selesa untuk para pelancong seperti tandas
awam, papan tanda, laluan pejalan kaki dan tempat letak kereta. Aspirasi Terengganu Bersih yang sedang dipraktikkan oleh PBT Terengganu juga akan menjadi salah satu tarikan kepada pelancong-pelancong insya-Allah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, melalui Rancangan Malaysia ke-12, RMKe-12, beberapa kelulusan projek telah pun diberikan kepada PBT Negeri Terengganu demi perkembangan ekonomi dan kemajuan yang setimpal. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, , dalam sidang kali ini, pelbagai isu telah pun dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, sepanjang sesi perbahasan yang berlangsung, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih pada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil berat dan membangkitkan pelbagai isu demi kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Sehubungan itu, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan dan juga memaklumkan terhadap perkara-perkara yang telah pun disentuh oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Yang pertama daripada sahabat saya, Yang Berhormat daripada Buluh Gading, yang telah pun menyentuh tentang isu vape ataupun rokok elektronik memandangkan ia telah pun beberapa kali dibangkitkan dan isu ini juga telah juga disebut dan dikongsi oleh beberapa Ahli Yang Berhormat yang lain seperti Yang Berhormat Ladang, Yang Berhormat Sura, Yang Berhormat Pengkalan Berangan. Untuk makluman Dewan, penggunaan vape ataupun e-rokok di Malaysia telah menjadi isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan sejak mula ia memasuki pasaran pada tahun 2015. Walaupun pada asalnya dilihat sebagai alternatif kepada rokok konvensional, vape ini telah mencetuskan beban berganda terhadap masalah tabiat merokok termasuk penggunaan yang salah khususnya dalam kalangan golongan muda dan belia. Trend penggunaan vape semakin meningkat dalam kalangan remaja dan golongan produktif kajian yang dilakukan oleh TECMA pada 2016 dan kajian kesihatan remaja ADH 2017 menunjukkan bahawa walaupun terdapat penurunan keseluruhan dalam kalangan perokok remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun iaitu daripada 27% kepada 22.44%. Peratusan pengguna vape dalam kalangan remaja wanita meningkat daripada 2.6% kepada 5.3%. Ini bukti bahawa penggunaan vape telah menarik minat kumpulan sebelum ini terdedah kepada rokok konvensional. Masalah ini menjadi semakin serius apabila pengguna penggunaan vape turut berkembang dalam kalangan individu berumur 20 tahun hingga 49 tahun iaitu golongan yang paling produktif dalam masyarakat yang keadaan ini menggagalkan usaha kadar
perokok secara keseluruhan dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesan kadar panjang terhadap kesihatan serta ekonomi negara.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menyedari keadaan ini Kerajaan Negeri telah pun membuat keputusan agar tiada sebarang kelulusan lesen perniagaan diberikan kepada peniagaan vape di dalam kawasan PBT di Negeri Terengganu. Untuk rekod, PBT juga telah mengeluarkan notis dan kompaun kepada perniagaan-perniagaan yang tidak berlesen ini sepertimana berikut. Pada tahun 2023 sebanyak 8 notis yang melibatkan 81 kompaun dikeluarkan. Pada 2024, juga 8 notis melibatkan 77 kompaun dan pada tahun 2025 sehingga Mac sebanyak 8 notis yang melibatkan 25 kompaun. Dalam 3 tahun, melibatkan 24 notis dan sebanyak 183 kompaun. Tindakan penguatkuasaan terhadap larangan penjualan vape yang diambil bagi aktiviti penjualan yang dibuat tanpa lesen dilihat tidak mampu menampakkan keseriusan Kerajaan Negeri untuk membanteras penjualan vape. Sehubungan dengan itu, bagi menampakkan keseriusan Kerajaan Negeri dalam isu ini, satu cadangan larangan penjualan vape di premis perniagaan sedang dimurnikan dengan mengambil kira perkara-perkara yang berikut.
Yang pertama, mengekalkan pelaksanaan semasa dengan tidak meluluskan lesen perniagaan pada semua premis, peniaga perniagaan produk rokok elektronik atau vape, dan pada masa hadapan, selaras dengan undang-undang kecil yang sedang berkuatkuasa di PBT masing2. Yang kedua, jika perniagaan masih dibuka dan beroperasi tanpa lesen diberikan, PBT akan menguatkuasakan undang-undang dengan menyita dan merampas barang-barang yang dijual, dan apa jua penguatkuasaan selaras dengan undang-undang kecil peraturan yang berkuatkuasa termasuk mengenakan kompaun dan denda, dan insya-Allah, satu kertas MMKN telah pun disediakan dan hanya menunggu masa untuk masuk ke dalam Mesyuarat MMKN dan insya-Allah juga, pada minggu hadapan saya telah pun mempunyai satu jadual untuk berjumpa dengan persatuan peniaga-peniaga vape Terengganu di Wisma ini untuk kita bincangkan dan mencari solusi yang terbaik.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya ADUN daripada Buluh Gading juga membangkitkan tentang isu perumahan rakyat di Kampung Jeram. Untuk makluman Yang Berhormat, Program Perumahan Rakyat atau PPR Jeram telah diluluskan di bawah Rolling Plan ketiga, RMKe-12 dengan kos sebanyak RM42 juta. Status terkini projek ini adalah KPKT dalam proses mengangkat permohonan
kelulusan budget dengan Kementerian Ekonomi berkaitan dengan pindaan kos asal daripada RM42 juta kepada kos terkini RM47 juta dan pindaan kos ini disebabkan kerana penjenamaan semula yang telah dilakukan oleh Pihak KPKT berhubung dengan Program Perumahan Rakyat asalnya PPR. Program PPR yang kemudiannya dinamakan kepada Program Residensi Rakyat ataupun PRR yang melibatkan tambahan komponen-komponen seperti berikut, yang pertamanya pemasangan sistem solar di dewan, pembinaan pondok pengawal, pembinaan pustaka mini, tambahan dua point air-cond di setiap rumah, tambahan dua point water heater di setiap rumah dan tambahan table top di dapur di setiap rumah. Jadi, pindaan ini yang menyebabkan delay masa yang berlaku. Sehingga kini kelulusan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi belum diperolehi, sekiranya mendapat kelulusan, pihak KPKT menjangkakan iklan tender akan dikeluarkan pada akhir tahun 2025 iaitulah tahun ini insya-Allah.
Seterusnya ADUN Ladang membangkitkan juga isu berkenaan dengan Pesta Moreh di bulan Ramadan. Pesta Moreh telah diadakan sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini dan penganjuran Pesta Moreh ini juga bagi merancakkan ekonomi setempat dan membantu kewangan peniaga-peniaga kecil untuk terus berkembang. Penganjuran Pesta Moreh ini selain daripada aktiviti perniagaan makanan, juga turut diserikan dengan pengisian aktiviti hiburan seperti busking. Pihak PBT dalam menimbang permohonan penganjuran Pesta Moreh ini telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam memastikan penganjuran tersebut mematuhi peraturan berkuat kuasa seperti Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2002, Kaedah-kaedah Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2003, Undang-undang Kecil, Penjaja dan Pihak Berkuasa Tempatan serta mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu. Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah pun membangkitkan isu ini, insya-Allah satu sesi libat urus akan diadakan yang melibatkan Persatuan Buskers, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta pihak-pihak yang berkepentingan bagi kita melihat balik kaedah pelaksanaan semasa dan akan datang yang terbaik. Selain daripada itu, Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah juga sedang membuat kajian semula terhadap Garis Panduan Hiburan, Persembahan Budaya dan Sukan di Negeri Terengganu, insya-Allah. Garis Panduan ini akan digunakan oleh PBT bagi menimbang sebarang permohonan aktiviti hiburan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Ladang juga membangkitkan tentang isu Pasar Bukit Besar ataupun PBB. Yang Berhormat Ladang membangkitkan dua isu berkenaan dengan PBB ini, yang pertamanya penyelenggaraan bangunan pasar termasuk tandas dan yang keduanya kekosongan bangku-bangku dan juga lot kedai. Sukacita saya maklumkan bahawa MBKT telahpun diluluskan peruntukan sebanyak RM500,000.00 oleh pihak KPKT bagi kerja-kerja Menaik Taraf Pasar Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang. Skop kerja menaik taraf ini termasuklah kerja-kerja mengecat semula, membaiki tandas dan kerja-kerja lain yang berkaitan, dan pada ketika ini pihak MBKT sedang dalam proses perolehan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf bangunan pasar ini. Berkaitan dengan kekosongan ruang niaga di pasar ini, MBKT juga amat menyedari isu ini dan MBKT telah beberapa kali mengeluarkan iklan untuk pengisian ruang niaga yang kosong, malah MBKT juga telah mengambil inisiatif untuk menswastakan kepada peniaga-peniaga di tepi jalan untuk memindahkan perniagaan mereka ke dalam pasar ini. Namun demikian, sambutan yang kita dapat sangatlah tidak memberangsangkan dan di antara punca utama kekosongan ruang-ruang kosong di pasar dan juga di pasar-pasar yang lain adalah disebabkan kerana kemunculan peniaga-peniaga yang secara tidak sah di tepi jalan dan pihak MBKT dan kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani isu ini kerana peniaga-peniaga yang terlibat dalam perniagaan ini sebahagian besarnya adalah merupakan golongan B40 dan juga bumiputera Islam. Dalam masa yang sama, Kerajaan dan MBKT juga sedar akan impak operasi perniagaan yang tidak sah ini termasuklah daripada segi keselamatan penggunaan jalan raya, kebersihan tandas dan persekitaran, kekosongan ruang niaga yang sah di pasar-pasar milik PBT dan juga kesan pada pendapatan PBT berikutan kekosongan ruang niaga itu. Oleh kerana itu, insya-Allah, pihak PBT akan mengadakan satu perbincangan khas bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di kesempatan ini juga saya juga suka untuk memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa sensitif dengan tuntutan dan cadangan daripada peniaga-peniaga di Pasar Payang 1, yang kita dapat rungutan daripada peniaga-peniaga Pasar Payang 1, selepas mereka berpindah ke Pasar Payang 1 ini, beberapa perkara yang tidak diingini berlaku contohnya, apabila berlakunya hujan, maka tempias itu akan masuk begitu kuat ke dalam premis-premis perniagaan mereka termasuk di laluan-laluan jalan kaki yang ada di Pasar Payang 1 itu yang menyebabkan kurang berlakunya kedatangan pengunjung di samping keperluan tangga-tangga yang diperlukan di beberapa sudut di sekeliling
Pasar Payang itu untuk memudahkan pembeli-pembeli naik terus daripada bawah ke atas tanpa perlu menaiki tangga utama yang terletak mungkin jauh daripada sudut-sudut yang berada di sekeliling itu.
Maka, Alhamdulillah MBKT akan membina tiga buah tangga dan membina struktur pelindung tempias hujan dan panas dan MBKT telah membelanjakan sebanyak RM450,000.00 bagi tujuan ini dalam fasa pertama pembinaan dan Alhamdulillah, KPKT juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM750,000.00 bagi fasa yang kedua, insya-Allah, semoga dengan inisiatif daripada MBKT ini dapat menyerikan lagi dan memudahkan kedatangan pelancong ke Pasar Payang ini dan dalam masa yang sama juga, Alhamdulillah, peruntukan sebanyak RM500,000.00 juga telah diperolehi daripada KPKT untuk naik taraf Pasar Batu Enam, juga sebanyak RM500,000.00.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya sahabat saya daripada Manir, menyebut tentang isu pengasingan sisa pepejal. Kerajaan Negeri juga tidak terkecuali daripada menyahut aspirasi negara ke arah pelaksanaan ekonomi kitaran dan PBT merupakan agensi yang memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan amalan kitar semula melalui yang pertamanya penyediaan tong kitar semula, pusat kitar semula dan pelaksanaan program bersama dengan komuniti. Berdasarkan kajian, sisa tidak boleh dikitar semula seperti plastik yang tertentu, sisa toksik dan e-waste yang tidak terurus dengan baik boleh menyumbang kepada pencemaran. Oleh itu, beberapa inisiatif telahpun dilakukan oleh PBT bagi mengurangkan isu sisa yang tidak dapat dikitar semula ini seperti Penganjuran Pasar Percuma yang telah dilaksanakan di daerah Dungun yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Dungun pada 22 Mac yang lalu. Antara jenis sisa yang boleh digunakan balik seperti pakaian, kasut, mainan, peralatan elektrik dan lain-lain. Kaedah mengaplikasi teknik reuse dapat mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan. Yang kedua melalui pelaksanaan program pembelian barangan e-waste, yang ketiganya kompos sisi organik dan yang keempatnya Kempen Larangan Penggunaan Plastik.
Yang Berhormat Manir juga membangkitkan isu Ladang Unggas yang dikenakan denda dan untuk makluman memang pihak PBT adalah merupakan pihak berkuasa yang berperanan untuk menguatkuasakan akta-akta tersebut. Namun begitu, menyedari keperluan perlesenan di bawah Enakmen Perladangan Unggas, Kerajaan Negeri telah meluluskan Garis Panduan Pemutihan Perladangan Unggas sedia ada
dalam PBT, di seluruh Negeri Terengganu pada 2024 yang melibatkan sebanyak 180 ladang sedia ada dengan memberikan kebenaran ladang-ladang tersebut boleh memohon kebenaran merancang, tempoh terhad dan permit bangunan sementara. Selain daripada itu, Kerajaan juga bersetuju agar kadar denda yang minima dikenakan kepada ladang-ladang tersebut yang telah dijalankan tanpa kelulusan.
Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sahabat saya ADUN Bukit Tunggal, menyebut tentang beberapa isu. Isu yang pertama tentang isu rizab sungai, telah pun dijawab oleh Yang Berhormat EXCO Infra. Seterusnya, yang kedua, iaitulah berkenaan dengan RPMM Banggol Pauh dan juga RPMM Pulau Duyong. Untuk makluman, bagi RPMM Banggol Pauh, Kuala Nerus telah mengalami kelewatan kemajuan fizikal sebenar iaitu sebanyak 25.17%, jadual adalah sebanyak 85.30% dan berbanding sebenar, 60.13% dan punca kelewatan yang dikenal pasti adalah yang pertamanya, kekangan kewangan, kelewatan penerimaan bayaran interim bulanan yang bermula pada Jun hingga Disember 2024, menyebabkan kontraktor terpaksa mengurangkan separuh bilangan pekerja dan mengurangkan aktiviti pembinaan di tapak dan masalah teknikal iaitulah penambahan tingkap di ruang dapur bagi mengadakan pencahayaan yang mencukupi di ruang dapur namun kontraktor masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut. Namun begitu pihak kontraktor sedaya-upaya untuk mempercepatkan proses kerja-kerja pembinaan bagi memastikan kemajuan fizikal kembali mengikut sebagaimana jadual. Tempoh lanjutan masa (EOT) telah diberikan kepada kontraktor sehingga 3 Jun 2025 dan tarikh siap terbaru adalah pada 3 Jun 2025 dan serah kunci akan dibuat selepas CCC projek diperolehi dan dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan selepas tarikh siap. Manakala bagi RPMM Pulau Duyung, kemajuan fizikal sebenar, ke hadapan sebanyak 8.97% berbanding jadual dan sehingga kini projek tidak menghadapi masalah kelewatan dan pihak kontraktor cuba untuk menyiapkan projek sebagaimana jadual yang telah ditetapkan. Tempoh lanjutan masa (EOT) telah diberikan kepada kontraktor sehingga 3 April 2026 dan tarikh siap terbaru adalah pada 3 April 2026, insya-Allah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya sahabat saya, ADUN Bukit Besi, menyentuh juga tentang keperluan untuk rumah mampu milik di kawasan beliau. Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan maklumat yang telahpun dibekalkan daripada pemegang taruh di peringkat daerah, Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa tapak yang sesuai untuk dibuat projek rumah mampu milik di
kawasan Bukit Besi. Namun proses ini masih di peringkat awal dan kajian yang terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ditentukan kebolehlaksanaannya. Antara kawasan tersebut yang dikenalpasti adalah yang pertamanya Kampung Dendang di Mukim Jerangau, di belakang Taman RMM Paya Lawas seluas lima ekar dan kawasan di lay-by Bukit Besi di Mukim Jerangau di belakang R&R lama Bukit Besi seluas 90 ekar. Kedua-dua tapak cadangan ini mempunyai fizikal tanah yang berbukit, mempunyai pokok-pokok besar dan berpaya dan sebahagian tanah tinggi dan sebahagian tanah rendah yang memerlukan kajian yang lebih terperinci.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat ketika ini Projek Rumah Mampu Milik yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan merangkumi pakej-pakej yang lengkap seperti yang pertamanya harga yang murah, harga rumah yang mampu milik yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri adalah lebih murah berbanding dengan harga pasaran. Sebagai contoh, harga rumah RMM jenis A dijual dengan harga subsidi iaitu RM80,000.00 berbanding kos sebenar RM140,000.00.
Yang keduanya, konsep sewa beli kepada peserta yang mana Kerajaan Negeri menawarkan pakej rumah mampu milik secara sewa beli kepada peserta. Yang ketiganya, reka bentuk yang sesuai dengan iklim. Reka bentuk yang sesuai dengan iklim di Negeri Terengganu. Selain daripada itu reka bentuk rumah mampu milik yang digunakan adalah berkonsepkan patuh syariah iaitu menggunakan reka bentuk rumah Darul Iman ataupun RAHMAN. Yang keempat, kemudahan asas, jalan, bekalan air dan elektrik.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua,
Boleh ringkas dok ya? Kalu boleh, tujuh minit ya.
Ya boleh, saya ambil satu minit lagi.
Yang seterusnya yang terakhir adalah daripada ADUN Langkap yang menyebut tentang projek perumahan di DUN Langkap. Iaitulah cadangan beliau itu di FELDA Chalok Barat yang memfokuskan perumahan generasi yang kedua FELDA dan RMM
Sungai Bari bagi golongan B40 serta pasangan muda. Untuk makluman bagi FELDA Chalok Barat, cadangan bagi pembinaan 100 unit rumah di bawah Program Residensi Rakyat telah diangkat permohonan kepada pihak KPKT untuk pertimbangan kelulusan pelaksanaannya dalam Rolling Plan Yang Pertama (RP1) RMK Ke-13, namun ianya masih dalam pertimbangan pihak Kementerian. Manakala di Sungai Bari terdapat cadangan bagi pembinaan 200 unit rumah di bawah PPK ataupun program kemajuan kawasan dan permohonan juga telah diangkat kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk pertimbangan kelulusan pelaksanaannya dalam Rolling Plan Yang Pertama (RP1) RMK Ke-13 dan masih dalam pertimbangan pihak yang berkenaan dan yang terakhir sekali, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk ADUN Telemung. Beberapa kali beliau menyebut tentang perkara ini tetapi…
Dia sedar dok tu? ADUN Telemung sedar dok tu?
Sedar.
Sebut Telemung, sedar lalu. Berkenaan dengan usul-usul yang dilakukan oleh pihak Kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan rumah-rumah ini di daerah Hulu Terengganu. Seperti yang saya maklumkan pada sesi yang lepas, bahawa tanah yang dicandangkan oleh pihak Yang Berhormat adalah tanah yang memang yang tidak sesuai untuk dibuat projek pembangunan dan justeru kita telah berusaha bersama-sama dengan pihak Pejabat Daerah Hulu Terengganu untuk mencari satu lokasi yang sesuai dan Alhamdulillah pihak Pejabat Daerah Hulu Terengganu telahpun mengenalpasti satu lokasi yang agak sesuai iaitulah di Kuala Jeneris, Mukim Telemung, Hulu Terengganu. Itulah cadangan untuk projek kemajuan kawasan di atas tanah sebahagian Lot 3400, Mukim Hulu Telemung di Kampung Kuala Jeneris yang melibatkan anggaran kos RM22 juta dengan anggaran sebanyak 103 unit rumah teres boleh dibina. Insya-Allah mudah-mudahan ia boleh menjadi satu kenyataan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua…
Terima kasih.
Terima kasih daripada rakyat Telemung.
Sama-sama
YB Dato’, tanya sikit.
Berkaitan dengan kelulusan merancang yang disebut tadi, PBT memang berkait rapat. Kelulusannya lebih kurang, kosnya lebih kurang 25%, RM16 ribu lebih dan dia menjadi beban kepada penternak-penternak, terima kasih.
Ya, terima kasih kepada Yang Berhormat. Seperti yang telahpun dinyatakan bahawa dalam program pemutihan berkelompok yang diadakan oleh pihak Kerajaan, semua perkara-perkara itu akan diambil kira termasuklah isu-isu yang disebutkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi.
Jadi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, akhir kata Menjunjung Kasih Merafak Sembah di atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ketika bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas pada Isnin, 14 April 2025 bersamaan 15 Syawal 1446 Hijrah. Wakaf Mempelam juga mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Wakaf Mempelam.
Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang berhormat dan pemerhati sekalian. Macam semalam saya tidak bercadang untuk kita rehat seketika dan sambung semula pukul 4.00 tetapi saya nak teruskan sehingga kita tamatkan sebelum pukul 5.00 nanti. Jadi mana-mana ada Yang Berhormat dan para pemerhati yang perlu kepada atau ada hajat untuk keluar seketika bolehlah keluar seketika kerana jamuan memang ada di luar, minum petang memang ada disediakan tetapi saya minta supaya janganlah keluar beramai-ramai. Jadi untuk meneruskan penggulungan, saya mempersilakan Wakil Batu Buruk. Dipersilakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha ketua-ketua jabatan dan agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, terlebih dahulu, patik Merafak Sembah Dan Mengujung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Sesungguhnya, Titah Tuanku menjadi obor pedoman dan sumber inspirasi kepada seluruh jentera pentadbiran negeri dalam merencana dasar dan hala tuju pembangunan yang berpaksikan nilai-nilai Islam, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang menyentuh berkenaan dengan Portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah. Yang Berhormat Bandar ada menyentuh tentang hukuman sebat di luar penjara. Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat, pihak penguatkuasa di bawah JHEAT, MAIDAM, Jabatan Pendakwaan Syariah, para hakim yang bijaksana di Jabatan Mahkamah Syariah dan tidak dilupakan juga UPDI, DUAT, Jabatan Penjara dan PDRM yang memberi kerjasama yang begitu bersungguh sehingga ia berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan sudah tentulah dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan yang memberi perkenan bagi pewartaan masjid terpilih untuk dilaksanakan hukuman ini. Insya-Allah kita akan perbaiki dengan lebih baik dari semasa ke semasa.
Hasil daripada apa yang kita laksanakan dapat membuka mata masyarakat walaupun apa yang dilaksanakan itu tidaklah memenuhi 100% daripada hukuman Jenayah Syariah Takzir secara khususnya. Namun apa yang penting ialah political will kemahuan politik yang ada kepada Kerajaan Negeri untuk terus memartabatkan hukuman ataupun undang-undang jenayah syariah. Dengan bidang kuasa, dengan batas dan had yang kita ada, kita laksanakan terlebih dahulu. Apa yang penting ialah kita mahu menunjukkan kepada masyarakat perbezaan antara sebat mengikut syariat Islam dengan sebat mengikut sivil. Bila hakim membuat keputusan dengan memilih pesalah yang diputuskan untuk dilaksanakan hukuman sebat tersebut, saya menerima panggilan daripada media-media luar negara dan kita memahami tujuan mereka ialah untuk memberi satu gambaran dan naratif yang buruk terhadap apa sahaja usaha pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Islam. Ianya kolot, ianya terkebelakang, ianya zalim,
ianya memalukan orang dan sebagainya. Alhamdulillah kita telah mengambil langkah-langkah yang cermat dan teliti. Hasil daripada langkah-langkah yang diambil, apabila ianya dilaksanakan, akhirnya tidak ada suara-suara tersebut bahkan kita mendapat satu sokongan yang begitu baik daripada semua. Setelah melihat ianya dilaksanakan, masyarakat dapat melihat bagaimana adilnya sebatan mengikut syariat Islam yang bertujuan untuk mendidik bukannya untuk menghukum berbanding dengan hukuman sebatan mengikut sivil. Ada yang datang pada hari pelaksanaan tersebut bukan sahaja daripada negeri Terengganu, daripada luar negeri Terengganu pun ada yang datang dan saya menerima WhatsApps dan mesej, ada yang tanya bila lagi nak laksana hukuman sebat. Saya kata tujuan kita bukannya nok sebat orang, tujuan kita adalah untuk didik masyarakat. Untuk menunjukkan kepada masyarakat beza sebatan mengikut syariat Islam, dengan sivil yang jelas tidak ada perikemanusiaan.
Saya ingin tegaskan agenda memartabatkan syiar Islam khususnya pemerkasaan syariah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam semua aspek kerana itulah tujuan utama kerajaan ini dibentuk iaitu tidak lain dan bukan tujuannya ialah:
“Menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia ini dengannya yakni dengan agama”.
Namun kita berdepan dengan cabaran-cabaran khususnya keterbatasan untuk menampung semua kos yang melibatkan infra dan kebajikan tenaga kerja dalam skop Jawatankuasa ini. Akan tetapi kita sentiasa bersikap positif dan pro aktif. Sikap yang kita ambil, apa yang tidak boleh buat semua, jangan ditinggalkan semua.
Antara isu yang menjadi perhatian utama dalam sesi perbahasan ini juga ialah kebimbangan terhadap pelaksanaan program-program anjuran Kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan yang perlu lebih cermat dalam menjaga batas-batas syarak. Perkara ini telah diketengahkan dengan penuh tanggungjawab oleh Yang Berhormat Jertih, Yang Berhormat Buluh Gading, Yang Berhormat Ladang, Yang Berhormat Batu Rakit, Yang Berhormat Sura dan Yang Berhormat Air Putih. Sebahagian jawapan telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Wakaf Mempelam sebentar tadi. Apa yang penting kita dapat melihat bagaimana masyarakat memandang serius setiap program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kerajaan
Negeri khususnya yang melibatkan program-program hiburan, kebudayaan supaya ianya berlandaskan syariat Islam. Ini antara cabaran kepada Kerajaan Negeri, kerana kita semua maklum berkait dengan hiburan ini, ia adalah sebahagian daripada fitrah naluri manusia. Namun begitu, apa yang penting ialah kita mahu mendidik masyarakat bahawa Islam tidak menghalang kita untuk berhibur, namun Islam mempunyai batas-batasnya. Kita tidak mahu menjadi seperti masyarakat barat yang meletakkan hiburan sebagai matlamat hidup, sebagai tujuan, bukannya satu wasilah.
Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, berkenaan kebimbangan isu peningkatan isu dadah dan vape di Negeri Terengganu yang dibangkitkan Yang Berhormat Buluh Gading, Yang Berhormat Sura dan Yang Berhormat Pengkalan Berangan, tadi pun telah dijawab oleh Yang Berhormat Wakaf Mempelam, EXCO PBT. Namun berkait dengan dadah ini ia diletakkan di bawah portfolio ini. Jadi jawapannya lebih kepada jawapan berkait dengan isu vape. Statistik bagi tahun 2024 menunjukkan bahawa seramai 192, 857 orang terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah serta bahan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, Terengganu mencatat kedudukan kedua tertinggi dari kadar 974 orang bagi setiap 100, 000 penduduk. Satu angka yang amat membimbangkan bagi negeri yang dikenali sebagai “Darul Iman”, dimana kita melihat sesetengah pihak menangguk di air yang keruh, dengan menuding jari negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang khususnya PAS, Perikatan Nasional banyaknya kes-kes yang berkait dengan dadah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan seumpamanya. Namun..
Yang Berhormat, Yang Berhormat, mintak saya celah sikit.
Sila.
Dalam isu dadah ini memang kita dilihatkan kadar kesalahan dadah tinggi Yang Berhormat. Tetapi ia menggambarkan pada saya, pandangan saya, pihak polis menjalankan kerja. Kalau polis tak buat kerja, indeks dadah turun. Kalau polis buat kerja indeks dadah mesti naik. Saya gambar polis buat kerja. Mungkin di tempat lain, polis tak buat kerja di negeri lain. Ke macam mana?
Masukkan dalam jawapan saya. Memang saya bersetuju Yang Berhormat Permaisuri apa yang disebut tadi. Saya ucap tahniah kepada pihak PDRM, pihak AADK yang memainkan peranan dan kerja yang begitu bersungguh untuk memastikan salah guna dadah Negeri Terengganu kita ini ditangani dengan agresif. Oleh kerana itulah kes dadah di Terengganu walaupun dengan angka dan data yang sangat membimbangkan yang disebutkan tadi, sebenarnya menurun bermula daripada tahun 2022, 13,314 orang, 2023, 12,058 orang dan 2024, 12,004. Maknanya ia makin menurun. Namun begitu kita perlu menyedari secara realiti, bahawa isu dadah ini adalah satu isu yang perlu kita selesaikan secara bersama. Isu dadah ini bukan isu negeri-negeri yang tertentu. Isu dadah ini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa memilih sesiapa. Isu dadah ini bukan lagi isu daerah, isu negeri, isu nasional bahkan ia isu antarabangsa. Saya ambil contoh beberapa buah negara di sebelah Amerika Selatan. Negara Mexico, Venezuela, Ecuador dan lain-lain lagi. Negara-negara ini terpaksa mengerahkan tentera bukan lagi polis untuk menyelesaikan masalah-masalah pengedar-pengedar dadah di sana, kartel-kartel dadah. Jadi ia masalah antarabangsa sebab itulah sangat jelek bila kita mendengar komen-komen setengah pihak menuding jari data dan statistik tinggi masalah dadah di negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional PAS khususnya di Negeri Terengganu. Sebab itulah saya sebut dan saya bersetuju dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Permaisuri tadi dan kita perlu menyelesaikan isu ini secara bersama untuk memastikan ia dapat menyelamatkan masyarakat kita. Oleh kerana itulah Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dalam memastikan isu dadah di Negeri Terengganu ini tidak terus membara dan tidak menjadi penyakit sosial utama di Negeri ini. Penubuhan perkampungan Darul Barakah menunjukkan keseriusan Kerajaan Negeri dalam melawan najis dadah ini. Untuk makluman, Perkampungan Darul Barakah ini saya difahamkan adalah Perkampungan Pemulihan Dadah yang pertama di Malaysia diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Tidak ada Kerajaan Negeri di Malaysia selain Negeri Terengganu. Yang swasta banyak tapi yang di bawah Kerajaan Negeri hanya Negeri Terengganu sahaja yang mana Kerajaan Negeri yang tanggung semua kosnya. Alhamdulillah, sejak penggal lepas lagi kita berjaya membuka perkampungan ini. Sehingga kini seramai 327 orang pelatih telah mengikuti program ini dengan 62 pelatih masih berada dalam program dan 55 orang berjaya dipulihkan sepenuhnya. Konsep rawatan Perkampungan Darul Barakah berasaskan lima tonggak utama iaitu:
1. Penyucian jiwa
2. Pembangunan minda 3. Penjagaan kesihatan 4. Pembinaan persekitaran keluarga 5. Latihan kemahiran hidup
Seterusnya, Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya rasa sebahagian daripada soalan-soalan tadi telah dijawab khususnya oleh Yang Berhormat Wakaf Mempelam EXCO PBT yang berkait dengan vape, berkait juga dengan isu dadah yang ditimbulkan tadi kerana masalah vape ini adalah masalah yang melibatkan remaja dan belia. Jadi kita bimbang ia akan membawa kepada benda-benda yang lebih teruk selepas daripada itu.
Seterusnya, Yang Berhormat-Yang Berhormat yang saya sebutkan tadi telah menyatakan pandangan, cadangan dan juga kritikan yang membina untuk melihat pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu kita terus berjalan dengan baik khususnya portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah ini, saya ucap ribuan terima kasih atas cadangan dan pandangan tersebut. Akhir kata, saya akhiri ucapan …
Yang Berhormat.
penggulungan ini…
Yang Berhormat.
Ya, sila.
Nampak dah nok landing tu, nok tanya satu soalan. Oleh kerana Kerajaan Negeri bersedia untuk memartabatkan Syariat Islam, memang semua tahu untuk kita martabatkan Islam ini yang pertamanya sembahyang, bermula dengan sembahyang. Jadi saya nak tanya adakah di sana undang-undang yang telah kerajaan sediakan bagi orang-orang yang tinggal sembahyang secara sengaja dan jika ada, sudah berapa banyak
yang kita ambil tindakan ke atas, jika berlakulah ke atas orang yang telah tinggal sembahyang secara sengaja ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Rakit atas keprihatinan tersebut dan saya difahamkan ia adalah salah satu soalan yang diutarakan oleh Yang Berhormat yang tidak sempat untuk dijawab. Secara ringkasnya, berkait dengan pemerkasaan syariah dan juga meninggikan syiar Islam di Negeri Terengganu ini khususnya berkait dengan solat ia macam kita tanam pokok lah. Bila kita tanam pokok ini, kita nak bagi pokok itu segar, hidup kena letak baja, kena siram air. Dalam masa yang sama, kita juga kena jaga dengan pagar dan benda-benda yang boleh merosakkan pokok tersebut. Jadi begitulah juga berkait dengan solat ini adalah satu tiang agama sebagaimana yang kita sebut. Jadi, kita Kerajaan Negeri banyak mengadakan program-program di bawah agensi, jabatan, unit tubuh untuk kita sentiasa memupuk semangat kasih rakyat kepada ibadat solat ini. Contohnya ialah kita mengadakan „Bulan Solat’ sempena Sambutan Israk Mikraj. Jadi itu untuk menyuburkan ibadat solat ini. Dalam masa yang sama kita juga mempunyai undang-undang dan peraturan. Dalam Enakmen Jenayah Syariah (2001) ada Seksyen 18 yang dikhususkan ke atas orang yang melakukan kesalahan tidak menunaikan solat cuma setakat ini tidak ada lagi yang dihukum kerana kita nak membuktikan seseorang itu bersalah memerlukan kepada proses-proses, kena ada bukti, kena ada saksi dan semuanya. Jadi nok buktikan orang itu tak solat bukannya mudah sebab kita dok tahu mungkin dia dok solat kerana dia tertidur. Dia dok solat itu mungkin dia lupa, kecuali kalau dia buat kenyataan yang jelas. Dia kata, solat tak wajib. Haa itu lain ceritalah. Kena tengok pula dia itu berakal ataupun tidak. Jadi perlu kepada bukti-bukti dan saksi-saksi. Namun begitu, kita Kerajaan Negeri lebih mengambil pendekatan mendidik rakyat kita untuk mencintai dan mengasihi ibadat-ibadat dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan rakan-rakan Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Akhirnya dengan lafaz rafak dan takzim, saya menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Batu Buruk mohon menyokong.
Terima kasih kepada Wakil Batu Buruk. Seterusnya saya persilakan Wakil Jabi untuk membuat penggulungan. Silakan YB.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Jabi merafak sembah dan menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.
Timbalan Yang di-Pertua, sebelum berlaku krisis makanan dunia akibat pandemik pada tahun 2020, Terengganu telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 pada 4 Ogos 2019. Satu pelan bertindak untuk jangka masa lima tahun yang menjadi hala tuju dan KPI bagi sektor pertanian negeri kita. Kiranya kita telah melangkah ke hadapan setahun lebih awal sebelum berlakunya krisis. Kalau kita imbas kembali ketika kami mula memikul amanah pada tahun 2018, prestasi KDNK sektor pertanian ialah -2.5%. Sektor pertanian bukan setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri serta tiada perancangan hala tuju yang jelas. Benarlah ungkapan fail to plan is plan to fail’ dan kita melalui pelbagai ujian dan kepayahan sepanjang tempoh pandemik COVID-19. Berhadapan pula dengan bencana banjir besar pada tahun 2022. Akhirnya pada tahun 2023 yang merupakan tahun penutup Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023, KDNK sektor pertanian negeri meningkat kepada 7.4% dan mampu menyumbang 7.5% kepada KDNK negeri. Bukan pencapaian besar tetapi kita telah mengubah kegagalan kepada sedikit kejayaan.
Bijak pandai menyebut “meneruskan kejayaan itu biasa tetapi mengubah kegagalan menjadi kejayaan itu adalah luar biasa”. Lantaran itu, sasaran angka sumbangan 12% sektor pertanian KDNK negeri menjelang 2030 dalam PSPT 2024-2030 adalah realistik dan berpijak di bumi nyata. Antara keterbatasan kita untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi ialah kerana Terengganu tidak mempunyai Exit and Entry Point dengan izin untuk
eksport produk pertanian ke pasaran antarabangsa. Sebenarnya hasil pertanian negeri kita seperti melon manis Terengganu, tembikai, nenas, hasil laut, hasil akuakultur seperti kerapu hibrid dan siakap memasuki pasaran eksport. Cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa di negeri lain. Maka angka KDNK dapatlah kepada negeri tersebut.
Timbalan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Bandar, Manir, Bukit Besi, Rantau Abang, Langkap, Kuala Besut, Permaisuri, Batu Rakit, Telemong, Kemasik dan juga Buluh Gading. Yang kosek sedikit sektor pertanian dalam ucapan masing-masing. Manir membangkitkan isu pemutihan ladang-ladang unggas dan kos untuk mendapatkan KM yang berada di luar kemampuan pengusaha yang telah disentuh sikit oleh sahabat saya EXCO PBT tadi. Dalam proses pemutihan dan perlesenan ladang-ladang unggas, semua ladang unggas sama ada yang sedia ada ataupun yang baru nak bina perlu memiliki KM daripada pihak PBT. Isu besar yang belum selesai yang kami sedia maklumi ialah kita banyak terima aduan berkaitan dengan kos caj pemajuan, bayaran denda bina dahulu tanpa kelulusan dan permit sementara yang terlalu tinggi sehingga mencecah jumlah ratusan ribu ringgit dan sekiranya isu ini tidak diselesaikan segera, kegagalan mendapatkan KM menyebabkan ladang unggas terlibat terpaksa ditutup, maka Negeri Terengganu akan kehilangan lebih daripada 50% ladang-ladang sedia ada. Jadi akan menjadi satu pukulan yang hebat kepada SSR bekalan ayam pedaging negeri yang akan menurun daripada paras 71% sekarang ini kepada hanya 30% sahaja. Kami mengambil tanggungjawab penuh untuk merungkai isu ini secara yang paling harmoni. Win-win situation dalam ruang lingkup peraturan sedia ada di antara pertanian dengan PBT. Sesi libat urus antara pihak terlibat dan berkepentingan akan diadakan segera insya-Allah dan kita berhadapan dilema di antara kepentingan penjanaan pendapatan langsung kepada PBT dan juga isu pertumbuhan ekonomi rakyat dan semua ini kita kena lihat dengan teliti dan saksama.
Timbalan Yang di-Pertua, Kemasik sebagai tuan rumah kepada Santuari Penyu Ma’Daerah menyentuh tentang usaha pemuliharaan penyu. Penyu sebenarnya adalah spesis haiwan zaman dinosaur yang masih survive sehingga hari ini. Rekod pelepasan anak penyu di Terengganu daripada tahun 2018 sehingga tahun 2024 ialah 3,025,735 ekor. Banyak kita lepas. Statistik bagi setiap 1000 ekor anak penyu yang dilepaskan, satu ekor akan berjaya hidup sehingga dewasa dan kembali selamat ke pantai di mana ia menetas dan dilepaskan. Nisbah 1:1000. Walaupun
penyu mempunyai kemampuan renang merentasi lautan menjelajah di antara benua, survival penyu terdedah kepada banyak ancaman daripada tahun 2015 sehingga 2025 dalam tempoh 10 tahun, sebanyak 592 ekor kematian penyu direkodkan. Pada tahun 2024 sahaja, 52 ekor kematian penyu dilaporkan. Jumlah yang sama dengan tahun 2023. Tahun 2025 sehingga Mac, 22 kematian penyu dilaporkan dan tiada bukti khusus untuk kita nyatakan punca kematian secara tepat, tapi biasanya penyu yang mati ini ditemui sama ada terperangkap dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit tubuh penyu, bangkai penyu, bangkai penyu dijumpai terdampar di pantai dan ada batu yang diikat pada bangkai penyu bertujuan untuk menenggelamkan penyu yang mati ke dasar laut. Jadi kita boleh simpulkan berdasarkan kepada keadaan penemuan semua ini berlaku adalah kerana angkara tangan-tangan manusia dan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan mengadakan beberapa operasi penguatkuasaan. Di antaranya operasi penguatkuasaan pukat pari di pengkalan-pengkalan dan di laut terutamanya di Kemaman dan Dungun yang mencatatkan rekod tinggi pukat pari. Yang kedua operasi terhadap nelayan yang menceroboh kawasan zon santuari penyu dan yang ketiga Penguatkuasaan Undang-Undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan yang melibatkan kematian penyu.
Untuk makluman Buluh Gading, Rantau Abang dan Kemasik berkaitan dengan TKPM tambahan kepada lima yang telah sedia ada untuk ke hadapan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030, kita akan bangunkan enam lagi TKPM. Di antaranya di Kuala Nerus, TKPM Bukit Rong Ubi di Rantau Abang, kita ada TKPM Rantau Abang dan di Kemasik ada TKPM Kemasik. Maknanya Kuala Nerus ada dua TKPM (TKPM Mengabang Bakong) dan yang akan dibangunkan TKPM Gong Ubi. Dungun akan ada dua TKPM, di Rantau Abang dan juga di Pinang Merah. Kemaman juga akan ada dua TKPM di Paloh Jenang dan juga di Kemasik melengkapkan semua daerah mempunyai taman kekal pengeluaran makanan.
Timbalan Yang di-Pertua, Buluh Gading menyentuh isu tanah terbiar. Tanah terbiar dari segi takrif dalam Jabatan Pertanian ialah tanah milik, sama ada milik individu ataupun milik syarikat keluasannya melebihi satu ekar, terbiar tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. Pada tahun 2020 Kerajaan Negeri menubuhkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar dan kita sebenarnya telah mempunyai land bank data tanah terbiar di Negeri Terengganu yang kita catatkan pada 2021, 8,263 hektar. Luas juga. Sebanyak 1,122 hektar telah dibangunkan pada tahun
2008 sehingga 2021. Dengan pelbagai tanaman, lokasinya di semua daerah dan untuk rekod, Terengganu ialah negeri yang kedua terbaik selepas Pahang dari segi kejayaan membangunkan tanah terbiar. Bermula daripada tahun 2021, Kerajaan Negeri menyediakan insentif bagi penyediaan infrastruktur di atas tanah terbiar macam sistem pengairan pagar, jalan, yang berjumlah 20,000 bagi setiap hektar. Tahun 2021 kita sediakan 500 ribu, 2022 naik sejuta, 2023 turun sedikit jadi 500 ribu, dan adalah satu kerugian apabila tanah yang begitu bernilai dibiarkan berlarutan dalam keadaan terbiar untuk satu tempoh yang lama dan ramai pemilik tanah bila kita tanya kenapa tanah tidak diusahakan, biasa jawapan klasik yang kita terima ialah simpan buat pusaka. Pusaka tidak perlu disimpan. Bila kita mati maka harta peninggalan kita termasuk tanah akan jadi pusaka. Yang kita mahu ialah masa kita masih hidup dan berusaha sebagai khalifah Allah di muka bumi kita mesti berusaha untuk memakmurkan muka bumi Allah.
Timbalan Yang di-Pertua, Langkap membangkitkan isu Tanah Kerajaan Negeri yang dimajukan oleh FELCRA. Jumlah keseluruhan Tanah Kerajaan Negeri yang dimajukan FELCRA seluas 9,651 hektar. Ada tiga kategori. Yang pertama yang dimajukan bagi Program Pembasmian Rakyat Termiskin (PPRT) ada 4,227 hektar. Sebenarnya tanah yang dimajukan untuk Program PPRT ini, MMKN pada 6 Mei 2015 telah bersetuju supaya tanah yang diusahakan ini diberi milik kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan dan insya-Allah kita akan hubungi pihak Lembaga Tabung untuk mengambil tindakan atas keputusan MMKN yang telah dibuat 10 tahun yang lalu. Maknanya keputusan sudah ada cuma tindakan untuk pemberimilikan saja yang belum dibuat. Yang kedua, program usaha sama JV (joint venture) ada seluas 4,440 hektar dan MMKN pada tahun 2015 juga telah meluluskan kepada FELCRA ini dengan dibahagikan 90% daripada 4,000 hektar lebih ini diberimilikan kepada Lembaga Tabung dan 10% diberimilikan kepada FELCRA dan ada perjanjian perkongsian keuntungan yang ditandatangani net profit 70/30. 70 bahagian Negeri, 30 untuk FELCRA. Kategori yang ketiga ialah FELCRA bangunkan kemudian diisi dengan peserta.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Wakil Kuala Besut mencadangkan supaya pembukaan ladang nyor. Sekarang ni, SSR kelapa di negeri kita untuk tahun 2019 sekitar 53%, 2023 sebenarnya kita dah naikkan kepada 74%. Cuma fenomena kekurangan bekalan kelapa santan yang sedang dihadapi di seluruh negara ekoran daripada situasi climate change perubahan cuaca sehingga sekitar bulan Jun sampai bulan September tahun lepas, pokok nyor jadi takdok mayang,
bila takdok mayang maknanya takdok buoh. Satu lagi ialah persaingan dengan industri kelapa muda. Sebiji kelapa muda harganya RM4.50, bila tunggu jadi tua, dia tukar jadi RM2.50 jadi semakin tunggu jadi semakin murah. Sebab itulah kelapa muda lebih menjadi pilihan pekebun untuk dijual kerana ia menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pelbagai isu pertanian dibangkitkan oleh Wakil Telemung. Yang sebenarnya Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan Hulu Terengganu dalam agenda pertanian negeri. Peruntukan yang kita salurkan kepada Hulu Terengganu sentiasa meningkat daripada setahun ke setahun. Saya maklumkan secara kasar, 2018 RM433,000.00 ini pelbagai sektor pertanian, penternakan, perikanan juga termasuk peruntukan untuk pengairan dan saliran dan yang paling besar memberi manfaat ialah sektor akuakultur. 2018 RM433,000.00, 2019 naik RM530,000.00 lebih, 2020 naik RM1 juta lebih, 2021 RM2,146,000.00, 2022 RM1,300,000.00 lebih, 2023 RM2,188,000.00 lebih dan yang paling tinggi ialah 2024 RM5,400,000.00 lebih. Jadi, kalau campur-campur semua ini termasuk dengan peruntukan bantuan akuakultur dalam tempoh 2018 sehingga 2024, kita telah salurkan lebih RM16 juta kepada daerah Hulu Terengganu. Saya tidak menolak kemungkinan untuk daerah Hulu Terengganu bakal diwartakan sebagai daerah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu yang kedua selepas daripada daerah Setiu. Jadi, daerah Hulu boleh bersedia untuk bekerja kuat bagi sama-sama kita berkolaborasi memajukan sektor keterjaminan makanan negeri kita. Timbalan Yang di-Pertua sekadar itu sahaja, Wakil Jabi juga menyokong.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, minta laluan.
Sila.
Boleh? Terima kasih. Gini, saya bukan nak pertikaikan apa yang telah diperkatakan oleh Wakil Jabi tadi, terima kasih banyaklah atas usaha yang Yang Berhormat Wakil Jabi dan juga Jabatan Pertanianlah. Tapi masalahnya kalau Yang Berhormat turunlah tengok, dia semakin menurun. Yang Berhormat bagi tahu tadi peningkatan bajet banyak tapi sekarang ni saya tak nampak di Hulu Terengganu ni, kalau padi contoh, macam Yang Berhormat Kuala Berang sebut padi, takdok, pengairan pun dok menjadi
mana. Kawasan-kawasan popular dulu, Taman Pertanian Sekayu, kami terpaksa buat dengan Pegawai Daerah bagi lot gotong royong, satu Majlis, satu Pejabat Daerah, jadi, ialah mende ni sebab kita, kalau kita nak bawa Menteri pun, saya dah cek, rasa takdok tempat satu pun yang kita rasa yang ada umpph lah, takdok, kelapa sawit je ade, kelapa sawit besor luaslah, tapi bukan tempat kita nak bawak Menteri kelapa sawit ni, kat lain luas lagi, comel lagi. Jadi begitulah saya, kita mintoklah Kerajaan, Jabatan Pertanian memberi perhatian, fokus especially Taman Pertanian Sekayu lah, dulu orang ramai datang kemudian daripada keramaian itu dapat pulangan kepada rakyat, bila mereka datang dia orang beli dia orang berjualan. Itulah, kita bukan nak besarkan sangat kita fahamlah masalah hari ini tapi kalau boleh diberi fokus beberapa kawasan yang disebut semalam banyok hari ni, sebab kawasan takdok apa yang boleh menarik, minta maaf banyak. terima kasih.
Baik, saya ambil maklum semua yang dimaklumkan oleh sahabat Yang Berhormat Telemung termasuk daripada celahan daripada Yang Berhormat Kuala Berang kelmarin, cuma kalau boleh saya maklum sikit, isu sawah padi di Kuala Berang yang terbiar itu bukan kerana ketiadaan infra, infranya ada tetapi tidak ada generasi anak-anak yang hendak meneruskan usaha mengusahakan sawah, jadi lepas daripada orang tua tak ada anak-anak tengok sawah bukan tempat untuk mereka mencari rezeki, kita nak buka kepada pelabur pun, keluasan dia sikit dan scatted terpisah-pisah, bukan yang sesuai untuk dijadikan satu sektor komersial. Jadi, itu di antara situasi. Apa pun macam yang saya sebut tadi, kita akan teruskan perancangan yang detail dan kerjasama daripada pihak daerah untuk kita merealisasikan hasrat daerah sebagai gedung pertanian yang kedua selepas daripada Setiu, insya-Allah dengan perancangan yang lebih detail. Terima kasih sahabat Yang Berhormat Telemung, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Wakil Jabi juga mohon menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Terima kasih Wakil Jabi. Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati sekalian, petang kelmarin pun kita dok rehat pada sesi
petang, petang ni pun kita terus dan ada dua orang sahaja lagi Wakil Kerajaan yang belum buat penggulungan. Jadi, oleh kerana tak rehat tadi saya ingat kita tangguhkan dulu Persidangan kita untuk hari ini dan kita sambung semula esok pada hari Khamis 17 April 2025 pukul 9.30 pagi dan marilah sama-sama kita tangguhkan mesyuarat kita dengan sama-sama kita bacakan tasbih kaffarah dan surah Al-’Asr.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA 4.13 PETANG